Kelas menengah perlu subsidi jika sektor hartanah tiada perubahan, kata penyelidik
Kelompok
kelas menengah rakyat Malaysia perlu subsidi untuk beli rumah jika
harga hartanah terus meningkat, menurut laporan Institut Penyelidikan
Khazanah. – Gambar fail The Malaysian Insider, Kelompok
kelas menengah rakyat Malaysia mungkin memerlukan subsidi kerajaan bagi
pembelian rumah jika harga hartanah semasa terus meningkat, menurut
laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) yang menggesa campur tangan
serta-merta semua pihak berkepentingan untuk mentransformasikan sektor
perumahan di Malaysia. Pengarah Penyelidikan KRI Dr Suraya Ismail berkata, julat median harga
bagi perumahan "berat sebelah" kepada bahagian lebih kecil daripada
penduduk Malaysia, atau mereka yang berpendapatan tinggi.
Jika ini berterusan, faedah perumahan sosial perlu diberikan kepada isi
rumah berpendapatan sehingga RM10,000 sebulan, yang jatuh dalam
kategori kelas menengah.
Ini bermakna bukan saja kumpulan 40% isi rumah terendah, tetapi juga
40% isi rumah kelas pertengahan di Malaysia, perlu menerima subsidi
untuk membeli rumah mampu milik, jika harga semasa diguna pakai. Kerajaan sudah melakukan inisiatif seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia
(PR1MA), termasuk pinjaman perumahan bagi meningkatkan jumlah rumah
mampu milik dalam pasaran hartanah yang semakin sesak.
Di Kuala Lumpur terutamanya, tiada projek baharu dilancarkan di bawah
harga RM500,000 tahun lepas, walaupun maksimum median harga rumah adalah
RM274,000 seunit.
"Harga ini adalah berdasarkan kepada pendapatan median penduduk di
bandar," katanya semalam pada pelancaran laporan penyelidikan terkini
KRI, "Membina Perumahan Mampu Miliik".
Suraya dan Pengarah Urusan KRI Datuk Charon Mokhzani berkata campur tangan segera diperlukan untuk membetulkan keadaan.
Beliau juga menggesa kerajaan beralih daripada bergantung kepada
perumahan sosial atau penyediaan rumah oleh kerajaan, untuk mewujudkan
persekitaran di mana harga rumah yang mampu dimiliki semua orang.
Charon berkata memberi lebih banyak pinjaman tidak akan membantu
menyelesaikan masalah perumahan kerana ini hanya akan menyebabkan orang
terperangkap dengan lebih banyak hutang.
Sebaliknya, industri itu sendiri boleh memastikan permintaan yang
efektif dan produktif bagi perumahan tanpa menjejaskan keuntungan, kata
laporan KRI itu.
Laporan itu turut menegaskan kos pembinaan sebenarnya akan menurun
tetapi ini tidak dicerminkan harga rumah yang terus meningkat dengan
pesat pada tahun lepas.
Charon berkata persepsi harga tanah akan meningkat dan seterusnya melonjakkan harga rumah adalah tidak benar.
"Apa yang berlaku ialah pemaju berhasrat untuk menjual hartanah pada
harga tertentu dan nilainya berdasarkan bidaan tertinggi sekali gus
menjadikan harga tanah lebih mahal," katanya.
KRI dalam laporannya, memetik kajian positif direkodkan di Filipina, di
mana syarikat yang dikenali 8990 Holdings mencatat keuntungan sebanyak
AS$76 juta bagi 2013 walaupun hanya membina rumah kos rendah untuk
memenuhi permintaan kategori rakyat berpendapatan rendah.
Malah, separuh daripada pembelinya berpendapatan RM2,000 dan ke bawah di Filipina, selepas kadar pertukaran.
Ini dapat dilakukan dengan proses pembinaan inovatif menggunakan
teknologi yang dipanggil "pre-cast" yang membolehkan syarikat menyiapkan
rumah bandaran dan unit tunggal berkembar dalam tempoh 8 hingga 10
hari.
Tetapi keberkesanan itu memerlukan komitmen pihak yang terlibat dalam
proses pembinaan - daripada pereka, kontraktor, kepada pemaju -
bekerjasama untuk memastikan pengeluaran efektif, kata institut itu.
"Inovasi ini perlu bermula daripada pemaju supaya ia dapat dilaksanakan
untuk membolehkan mereka memiliki sistem penyampaian yang lebih
produktif," kata Suraya sambil memetik Sistem Binaan Industri (IBS),
yang sudah lama dicadangkan tetapi belum dilaksanakan di Malaysia.
Sistem ini melibatkan penggunaan komponen pasang siap yang boleh dipasang di tapak projek.
Walaupun kebanyakan negara maju terpaksa memastikan perumahan sosial
untuk semua rakyatnya, namun laporan itu menyatakan tidak semua isi
rumah memiliki rumah kerana pertumbuhan penduduk.
"Adalah lebih masuk akal daripada segi ekonominya untuk memastikan
pembelian rumah adalah berdaya maju daripada segi kewangan kepada orang
awam daripada ia bergantung kepada model sedia ada pada penyediaan
perumahan sosial," kata laporan itu.
Institut itu mencadangkan kaedah pengeluaran baharu diguna pakai pemaju
supaya lebih inovatif dan juga menggesa satu pemantauan dikenakan
terhadap harga rumah di bawah skim baharu sehingga stok rumah mampu
milik disediakan.
Ia juga menggesa penubuhan pangkalan data kebangsaan bagi perancangan
teratur untuk kawasan yang memerlukan perumahan dan pembangunan di
sekeliling kawasan sedia ada.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan