HALAMAN SANTAI

Rabu, 5 Ogos 2015

Laporan interim 1MDB: Speaker jawab PAC

SINAR HARIAN



Tan Sri Pandikar Amin Mulia
Tan Sri Pandikar Amin Mulia
 
 
KUALA LUMPUR - Cadangan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) untuk menyiarkan laporan interim siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah bertentangan dengan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata "tindakan itu bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat 85, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang tidak membenarkan apa-apa keterangan yang diambil di hadapan PAC dan apa-apa surat yang dikeluarkan kepadanya disiarkan dalam apa jua bentuk sebelum Jawatankuasa itu membentangkan laporan tersebut kepada Majlis.

"Penyiaran laporan interim juga bertentangan dengan Seksyen 23 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 yang jelas tidak membenarkan mana-mana ahli atau jawatankuasa memberi keterangan di luar Majlis tanpa keizinan khas Majlis terlebih dahulu," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Naib Pengerusi PAC, Dr Tan Seng Giaw akan kemungkinan jawatankuasa itu mencadangkan mengeluarkan laporan ringkas berhubung 1MDB bagi memberitahu orang ramai tahap siasatan yang telah dijalankan.

Berhubung isu sama ada PAC boleh meneruskan mesyuarat dengan kehadiran tiga ahli jawatankuasa sahaja, Pandikar berkata mengikut peraturan Mesyuarat 83(3),  kuorum bagi sesebuah Jawatankuasa Pilihan hendaklah tiga orang ahli termasuk Pengerusi kecuali jika Majlis memerintahkan boleh lebih atau kurang daripada itu.
 
"Walaupun baki ahli PAC mencukupi bilangan kuorum yang disyaratkan bagi ahli tetapi jawatan pengerusi telah dikosongkan, maka PAC tidak boleh meneruskan mesyuarat sehingga pengerusi yang baharu dilantik oleh Majlis," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Peraturan Mesyuarat 77(3) hanya terpakai apabila jawatan pengerusi itu masih diisi oleh seseorang ahli Majlis, dan PAC tidak mempunyai kuasa untuk memilih seorang daripada mereka untuk menjadi pengerusi apabila jawatan pengerusi telah menjadi kosong.

Perkara 73(3) peraturan mesyuarat pula mencatatkan semasa ketiadaan Pengerusi atau Naib Pengerusi oleh kerana keuzuran atau lain-lain sebab, Jawatankuasa hendaklah memilih seorang daripada mereka untuk menjadi seorang Pengerusi yang akan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa itu.

"Memandangkan pelantikan Pengerusi baru masih belum dibuat, apa-apa mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara hendaklah ditangguhkan, dan tiada peruntukan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang menghendaki suatu penangguhan mesyuarat Jawatankuasa itu dibuat dengan memohon persetujuan daripada ahli-ahli Jawatankuasa terlebih dahulu," kata Pandikar.

Menyentuh mengenai Naib Pengerusi jawatankuasa itu mengadakan mesyuarat, Pandikar berkata beliau tidak boleh mengadakan mesyuarat jawatankuasa atas kapasitinya sebagai Naib Pengerusi kerana Peraturan Mesyuarat 82 (2) memperuntukkan secara khusus mengenai tatacara pelantikan jawatan ahli jawatankuasa yang menjadi kosong.

"Dalam hal keadaan jawatan Pengerusi atau Ahli Jawatankuasa menjadi kosong, Peraturan Mesyuarat 82 (2) memperuntukkan bahawa pelantikan semula bagi jawatan tersebut dibuat melalui pelantikan oleh Majlis atau Jawatankuasa Pemilih mengikut mana-mana yang berkenaan dan bukannya melalui pemilihan dalam kalangan Naib Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara sedia ada sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Peraturan Mesyuarat  77 (3)," katanya. - Bernama
 
 

Tiada ulasan: