SHAH ALAM - Pihak yang menyuarakan agar Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak digulingkan namun dalam masa sama mengekalkan kerajaan
sedia ada sebenarnya tahu perkara itu tidak boleh berlaku.
Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa, Majlis
Profesor Negara, Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek berkata, kumpulan
seperti Bersih 4.0 seolah-olah tidak tahu peraturan sebaliknya tetap
memilih untuk mengelirukan rakyat.
“... mereka bukan tidak tahu undang-undang negara kita. Tekanan-tekanan
yang mengatakan ‘kami bukan nak tumbangkan kerajaan tapi kami tidak
mahu Najib sahaja’, ini satu kenyataan yang mengelirukan rakyat.
“Hakikatnya mereka tahu. Ramai peguam dalam parti dan NGO termasuk
Ambiga (Bekas Pengerusi Bersama Bersih),” katanya kepada Sinar Online.
Tiada istilah hanya mengguling Perdana Menteri tetapi mengekalkan
kerajaan kerana jika Perdana Menteri melepaskan jawatannya, barisan
Kabinet juga bakal bubar mengikut Perkara 43 (4) Perlembagaan
Persekutuan.
“....perkara itu tidak dapat dielakkan kerana ia adalah sistem negara
ini. Dalam Perlembagaan, kalau nak guling Perdana Menteri, kena guling
jawatan dan pemerintahannya sekali. Itu pakej.
“Boleh rujuk Perkara 43. Kalau turunkan jemaah menteri, maka kita
turunkan kerajaan. Katakanlah saya tak nak Najib, saya nak Muhyiddin
(bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin), maka turun
Najib, naik Muhyiddin.
“Itu tidak boleh. Sebab Najib adalah Perdana Menteri kepada jemaah menteri. Ini sistem kita,” katanya lagi.
Menurut Perlembagaan Persekutuan, di bawah Perkara 43 (4) berkenaan
jemaah menteri, jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan
majoriti ahli Dewan Rakyat, maka perdana menteri hendaklah meletakkan
jawatan jemaah menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen
dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Menurut Abdul Halim, tekanan yang diberikan kepada Najib hari ini
adalah untuk ‘memaksa’ supaya Ahli Parlimen Pekan itu memanggil pilihan
raya awal.
“Jika berlaku undi tidak percaya di Parlimen, Najib akan letak jawatan
bersama-sama jemaah menterinya. Tak boleh pula menterinya kata tak mahu
letak jawatan atau beliau boleh membubarkan dewan (Dewan Rakyat) untuk
laksanakan pilihan raya awal.
“Mana satu pun, memang akan menyebabkan berlakunya pilihan raya. Ini
yang mereka nak. Mereka mahu tekan Najib supaya buat pilihan raya awal,”
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan