KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR- Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak digesa mengisytiharkan harta terlebih dahulu sebelum menggubal undang-undang untuk mengawal pembiayaan dana politik, kata Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli.
Rafizi memetik laman web Sarawak Report semalam yang melaporkan Najib membelanjakan sekitar USD1 juta (RM3.5 juta) melalui kad kredit CIMB dan Maybank ketika bercuti di Eropah dalam bulan Ogos 2014.
Laman itu mendakwa, Najib menghabiskan wang berkenaan hanya dalam tempoh sebulan.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, ia mendedahkan lagi betapa berleluasanya gejala pimpinan politik yang hidup mewah melebihi pendapatan.
“Oleh itu, saya menyeru semua pihak yang terbabit supaya memboikot sebarang usaha untuk menggubal undang-undang yang mengawal pembiayaan politik selagi Perdana Menteri dan keseluruhan anggota jemaah menteri tidak mengisytiharkan perincian harta, pendapatan dan perbelanjaan seperti yang pernah saya buat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut Rafizi, isu undang-undang berkenaan hanya timbul kerana Najib kini berdepan kemarahan rakyat akibat skandal 1MDB dan dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadinya.
“Isu penggubalan undang-undang ini adalah satu cubaan untuk mengalihkan perhatian rakyat dari isu sebenarnya dan cuba berdalih dengan rakyat mengenai bagaimana dana RM2.6 bilion boleh dimasukkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Rafizi juga berpendapat pembiayaan politik yang telus boleh dicapai dengan kaedah di mana kerajaan memperuntukkan geran kepada parti-parti politik mengikut jumlah sokongan undi majoriti yang diperolehi pada pilihan raya.
“Apabila kerajaan memperuntukkan geran sebegini, barulah undang-undang boleh diketatkan dengan mensyaratkan sebarang derma atau sumbangan politik kepada mana-mana ahli politik atau parti politik diisytiharkan secara telus – seperti mana yang diamalkan di negara-negara yang matang amalan demokrasinya,” jelasnya.
Justeru itu, beliau menasihatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low mendapatkan pengisytiharan harta daripada perdana menteri dan jemaah menteri sebelum ‘memukul canang’ mengenai undang-undang berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan