HALAMAN SANTAI

Sabtu, 22 Ogos 2015

PAS perlu usaha keras tawan pengundi kawasan bukan tradisi

 Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Walaupun mendapat sokongan daripada pengundi tegar, PAS perlu bekerja keras untuk meraih undi di kawasan yang terdiri daripada masyarakat majmuk yang pernah dimenangi sewaktu pilihan raya umum lalu, kata pensyarah geopolitik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohd Fuad Mat Jali.
 
Mohd Fuad berkata, PAS dijangka tidak mempunyai masalah untuk bertanding di kawasan tradisi seperti di Kelantan, namun akan berdepan dengan kesukaran kerana sekiranya bertembung dengan calon parti serpihannya, Gerakan Harapan Baru (GHB).   
 
"Apabila sudah keluar sudah tentu fokus bagaimana nak menarik semula keyakinan rakyat.. Kalau dulu bersama (PR) orang melihat PAS kuat, tapi kalau kita lihat populariti di Kelantan tiada masalah. 
 
"Yang membezakan pada PRU14 ialah mereka bersendirian, mereka bertanding di kawasan 50:50. Kalau dulu mereka menang, tapi kali ini mereka kena berusaha lebih untuk meraih hati pengundi supaya mereka boleh kekalkan seperti Perak, Pulau Pinang, Selangor di mana beberapa kerusi yang dimenangi adalah kerusi campuran. Ini mungkin sukar bagi mereka nak tawan bila bersendirian," katanya dalam satu temubual bersama Antarapos.
 
Beliau berkata demikian sebagai mengulas jangkaan prestasi PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sekiranya tidak lagi bersama gabungan PR.
 
Pada PRU13 dua tahun lalu, PAS berjaya memperoleh 21 kerusi, dan bilangan itu sedikit merosot berbanding PRU12 pada 2008 di mana pada ketika itu parti Islam berkenaan berjaya memperoleh 23 kerusi. Pada dua pilihan raya berkenaan, PAS bergabung bersama PKR dan DAP membentuk PR. 
 
Prestasi terbaik PAS pernah direkodkan pada PRU10 (1999) di mana PAS memperoleh 27 daripada 63 kerusi Parlimen yang ditandinginya. Pada ketika itu PAS bergabung bersama DAP, PKR dan PRM membentuk Barisan Alternatif.
 
Pola tersebut secara tidak langsung mencetuskan perkaitan di mana PAS berjaya memperolehi kerusi menerusi penggabungan bersama rakan sekutu.
 
"Kalau dilihat kepada pola pengundian, memang kita lihat apabila sesuatu parti itu bergabung contohnya PAS-DAP-PKR sudah tentu momentum atau sokongan itu berkongsi. Contohnya PAS, ini dalam konteks sebelum PR berpisah, mereka (PAS) tak dapat sokongan dari kaum Melayu yang mungkin dari Umno, MCA, MIC.. sebelum PR wujud mereka lihat PAS parti Islamik, tapi bila bersatu dengan slogan 'Ke Putrajaya', sudah tentu berada dalam PR, sokongan itu dikongsi bersama," katanya.  
 
Namun menurut Timbalan Dekan (Siswazah dan Hubungan Antarabangsa) UKM itu lagi, situasi PAS bersendirian itu memberi dua jangkaan kepada parti ISlam itu sendiri, sama ada untung mahupun rugi.   
 
"Mungkin di kawasan majmuk atau 50:50 orang melihat kemungkinan undi itu berkurangan, berkemungkinan juga bertambah.. bertambah sebab apa? Kalau dulu orang atas pagar tidak mahu undi PAS, tapi bila sekarang orang melihat ketegasan PAS, dengan hududnya, menegakkan Islam.. mereka (pengundi) tahu parti yang akan dibentuk ini (GHB) non-tradisional bentuknya, mungkin yang dulu memihak kepada PR, mereka akan memikirkannya (sokong PAS)," ujarnya.
 
Justeru katanya, sukar untuk diramalkan prestasi PAS pada PRU14, namun ia bergantung kepada kawasan dan sejauhmana usaha parti itu memenangi hati pengundi, khususnya pengundi di kawasan bukan tradisi.  
 
"Saya melihat kemerosotan undi bergantung kepada kawasan dan sejauhmana perjuangan hudud itu tercapai menjelang pilihan raya umum ke-14.. ini yang perlu dimainkan PAS bagaimana mahu meyakini pengundi selepas keluar (tiada bersama PR), mereka boleh berjuang sendiri, mereka boleh terus memastikan bahawa hudud dibentangkan di parlimen untuk menaikkan keyakinan," kata beliau.
 
 

Tiada ulasan: