HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Ogos 2015

Perkasa desak penganjur Bersih jamin tiada kekacauan, elak ringgit terus jatuh



Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata sekiranya perhimpunan Bersih 4 tidak dapat dikawal, ia secara tidak langsung akan memberi kesan kepada keadaan ekonomi negara yang semakin membimbangkan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 27 Ogos, 2015.Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata sekiranya perhimpunan Bersih 4 tidak dapat dikawal, ia secara tidak langsung akan memberi kesan kepada keadaan ekonomi negara yang semakin membimbangkan. – Gambar fail The Malaysian Insider. 
 
 
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak penganjur Bersih 4 agar memastikan himpunan yang akan berlangsung hujung minggu ini selamat dan tidak mengancam keselamatan rakyat dan negara.
 
Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata, jika perhimpunan yang akan diadakan di Kuala Lumpur itu tidak dapat dikawal, maka ia secara tidak langsung akan memberi kesan kepada keadaan ekonomi negara yang semakin membimbangkan.

"Oleh kerana polis tidak mengizinkan dan muncul pula kumpulan baju merah yang mengadakan demonstrasi berbentuk fizikal dan kenyataan terbuka mereka hendak berhadapan dengan kumpulan Bersih, ini semua menjurus keadaan yang boleh menggugat keselamatan negara.

"Kalau ia di luar kawalan polis dan menimbulkan huru hara, saya percaya kedudukan ekonomi dan ringgit akan terus jatuh. Ini tidak mendatangkan kebaikan pada negara. 
 
 "Perkasa mendesak pihak penganjur jika mereka kata akan teruskan perhimpunan tersebut, mereka perlu benar-benar menjamin supaya tidak berlaku apa-apa kemudaratan baik dari segi harta benda rakyat dan keselamatan. Sebab apa sahaja boleh berlaku," katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat Perkasa di Kuala Lumpur petang ini.

Ibrahim berkata berdasarkan pengalamannya yang pernah menyertai lebih 20 demonstrasi dalam dan luar negara, kebanyakan demonstrasi akan menyaksikan pertembungan dan kemusnahan harta benda.

Katanya, mengenang lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan akibat himpunan itu, ahli Perkasa bebas namun tidak digalakkan untuk menyertai himpunan Bersih 4 hujung minggu ini.  

"Saya masih ingat lagi sewaktu saya tunjuk perasaan 1974, saya ketuainya. Apabila kami lari mendapat perlindungan di Masjid Negara, saya sedang berucap tiba-tiba ada penunjuk perasaan membaling batu ke arah cermin masjid. Banyak cermin pecah dan ada yang membaling batu ke arah polis.

"Akhirnya polis terpaksa bertindak agresif dan di sinilah tercetusnya kekecohan menyebabkan ramai penunjuk perasaan ditahan.

"Hujung minggu ini apabila ramai nanti, mampu ke polis mengawal keadaan kerana akan ada kumpulan yang akan mengambil kesempatan," katanya. 

Ibrahim berkata jika berlaku ketegangan pada perhimpunan itu, apa yang dibimbangkan ialah rakyat dan negara yang bakal menanggung kerugian.

Katanya, jika penganjur berhasrat mahu meneruskan himpunan berkenaan maka mereka perlu bertanggungjawab atas segala kemungkinan yang bakal berlaku.

"Kalau kebenaran polis tak ada dan saya jangka macam-macam akan berlaku, lebih baik menjauhkan diri. Kalau ia perhimpunan aman sebagaimana kehendak Akta Perhimpunan Aman dan dapat kebenaran, apa jua saya sokong.

"Nak larang apa hak saya. Saya hormati hak ahli-ahli kerana ahli Perkasa pun ada ahli Umno. Kalau saya kata jangan pergi bermakna saya jadi pemimpin diktator, autokratik.

"Dalam hidup saya pula, saya ini juara demokrasi pernah tunjuk perasaan. Saya tak mahu jadi hipokrit," katanya.


Tiada ulasan: