Salah sendiri peruncit gagal program Tukar, kata menteri
Menteri
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hamzah
Zainuddin menyalahkan cara peruncit berniaga dan berurusan dengan
pelanggan mereka yang mengakibatkan kegagalan. – Gambar fail The
Malaysian Insider, Menteri Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hamzah Zainuddin mempertahankan
Program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) walaupun terdapat peruncit
kerugian puluhan ribu ringgit selepas berdaftar dengan program tersebut.
Hamzah sebaliknya menyalahkan cara peruncit berniaga dan berurusan dengan pelanggan mereka yang mengakibatkan kegagalan.
"Yang tak berjaya ini bukan sebab program itu tak berjaya. Itu kerana
individu itu sendiri. Sebab bila kita buat program Tukar ini, produk,
kedai ia (akan) lebih cantik, lebih baik.
"Tapi oleh kerana peniaga itu sendiri, mungkin dia (peniaga) kena tukar
cara. Sebab bila kita berniaga ini, perhubungan awam sangat penting.
Kalau menggunakan bahasa kadang-kadang yang menyebabkan orang tak suka
nak pergi, itu bukan salah program," katanya kepada pemberita semasa
perhimpunan bersama Maktab Koperasi Malaysia di Petaling Jaya hari ini. Menurutnya, beliau dimaklumkan 95% yang melibatkan diri di bawah program tersebut berjaya.
Katanya, program tersebut diwujudkan demi kepentingan peniaga di negara
ini sama ada untuk Bumiputera mahupun bukan Bumiputera, bagi
mengelakkan mereka berada di takuk lama yang sama, terutama sekali dari
segi fizikal.
Beliau turut menyelar tinjauan yang dilakukan The Malaysian Insider
baru-baru ini mengenai keadaan peruncit yang mengalami kerugian teruk
selepas mendaftar di bawah program tersebut.
Hamzah berkata tinjauan itu hanya meliputi 1% daripada 95% peruncit yang berjaya.
Katanya, program itu juga akan ditambahbaik dari masa ke semasa untuk menampakkan impaknya.
Pada April 2014, Bernama melaporkan menurut Laporan Ketua Audit Negara
2013, sebanyak 26% daripada 70 kedai di bawah program Tukar mengalami
kemerosotan nilai jualan manakala 14% lagi terpaksa gulung tikar.
Namun, menurut laporan itu, kedai yang mengalami kemerosotan nilai
jualan antaranya berpunca daripada wujudnya persaingan dengan pasar raya
berdekatan.
Pemandu, satu unit di bawah Jabatan Perdana Menteri, juga
mempertahankan Tukar, mengatakan pada akhir tahun lepas, atau selepas
tahun ke-4 pelaksanaan program itu, 1,914 kedai berjaya ditukar.
Ini diterjemahkan kepada 38% daripada kumulatif nilai program ini untuk
mencapai sasaran 5,000 kedai menjelang 2020, kata Pemandu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan