HALAMAN SANTAI

Sabtu, 22 Ogos 2015

SPRM 'seru' Jho Low, pegawai SRC

MALAYSIAKINI





Ahli perniagaan kontroversi, Jho Low - atau nama sebenarnya Low Taek Jho - adalah seorang daripada tiga individu dikehendaki Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya segera hadir membantu siasatan terhadap syarikat SRC International Sdn Bhd.

Menurut Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki, mereka mengumumkan pencarian terhadap Jho Low serta Pengarah Urusan SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil; serta Pengarah SRC International Sdn Bhd, Datuk Suboh Md Yassin

Kata Azam, ketiga-tiga tokoh terbabit sepatutnya telah memberikan kenyataan tentang pelbagai transaksi dikaitkan dengan akaun persendirian milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Difahamkan pihak berkuasa sudah mengeluarkan perintah larangan ke luar negara terhadap Nik Faisal dan Suboh yang dipercayai gagal dihubungi sejak bulan lalu.

Nik Faisal, 44, dipercayai menghilangkan diri ekoran laporan The Wall Street Journal dan Sarawak Report yang mendakwa wang bernilai RM2.6 bilion dimasukkan ke akaun persendirian Najib dari luar negara.

Transaksi itu dibuat melalui dua anak syarikat SRC International - Gandingan Mentari dan Ihsan Perdana.
Difahamkan Nik Faisal sedang berada di Indonesia.

Orang ramai diminta bantu

Suboh, 64, pula asalnya dikatakan bersedia memberi kenyataan kepada SPRM namun 'hilang' sejak Abdul Gani Patail diketepikan daripada jawatannya sebaga peguam negara pada 27 Julai.

Azam berkata, ketiga-tiga mereka dikehendaki menghubungi pegawai penyiasat kes iaitu Penolong Pesuruhjaya Rosli Husain di talian 010-3187757 atau 03-88900752, atau Penolong Pesuruhjaya Norkhafizin Isa di talian 019- 6000345 atau 03-88900754.

“Mereka dikehendaki hadir di Bahagian Operasi Khas SPRM di Aras 7, Menara Prisma, Presint 3, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

SPRM juga katanya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat di mana ketiga-tiga mereka berada agar menghubungi Rosli atau Norkhafizin atau mana-mana Pejabat SPRM yang terdekat.

Mereka juga telah berusaha untuk mengesan ahli perniagaan atau Jho Low untuk membantu dalam siasatan mereka.

Jho Low, 34, adalah ahli perniagaan yang pernah dilihat bergambar bersama selebriti Paris Hilton.
Dia berasal dari Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

Waran tangkap mungkin akan dikeluarkan jika mereka gagal hadir seperti diarahkan.


Tiada ulasan: