HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Ogos 2015

Wakil rakyat PAS sertai GHB akan terus berkhidmat kepada rakyat - Nizar

 Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Tiada keperluan untuk wakil rakyat PAS yang bakal menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB) untuk mengosongkan kerusi kerana mereka tetap meneruskan khidmat kepada rakyat, demikian menurut ADUN Changkat Jering, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
 
Bekas Menteri Besar Perak itu berkata, gesaan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang meminta wakil rakyat yang berkenaan agar meletakkan jawatan kerana melanggar bai'ah, tidak patut ditimbulkan sama sekali.    
 
"Kita tak perlu kosongkan kerusi kerana dari segi bai'ah itu, kita memberi bai'ah kepada parti supaya parti memberi khidmat kepada rakyat. 
 
"Jadi sekarang PAS sudah putus hubungan dengan DAP, Pakatan Rakyat (PR) itu sendiri terkorban, dan ini satu pengkhianatan kepada rakyat sebab rakyat pilih kami dulu atas dasar PR," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan Hadi yang meminta wakil rakyat parti Islam itu mengosongkan kerusi mereka jika ingin menyertai parti baru yang bakal ditubuhkan GHB.  
 
Hadi dalam satu perhimpunan di Kedah petang semalam berkata wakil rakyat yang berkenaan perlu berbuat demikian kerana telah melanggar sumpah bai'ah yang dibuat sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), dua tahun lalu.
 
"Terpulang kepada maruah mereka. Mereka membuat sumpah bai'ah sebagai wakil rakyat PAS.
 
"Mereka mengangkat sumpah, berjanji. Jadi, mereka sepatutnya meletak jawatan dan kosongkan kerusi," petik kata Hadi semalam.
 
Nizar, adalah antara salah seorang pemimpin dari kumpulan progresif yang kalah dalam pemilihan parti Jun lalu yang turut serta membentuk GHB bersama beberapa pemimpin lain, seperti Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub, Dr Hatta Ramli, Dr Dzulkefly Ahmad dan lain-lain. 
 
Beliau kini dilantik sebagai Timbalan Penyelaras GHB Perak.
 
Dalam pada itu, bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak berkenaan berkata, tidak wajar melabelkan pemimpin atau ahli PAS yang ingin menyertai GHB sebagai pengkhianat.   
 
"Yang khianat kepada PR itu adalah PAS. Jadi kami berpandangan tidak perlu kosongkan kerusi itu sebab kami masih meneruskan janji kepada rakyat," katanya lagi.
 
Penasihat Umum GHB, Ahmad Awang dalam satu kenyataannya juga menegaskan tidak ada keperluan bagi wakil rakyat PAS mengosongkan kerusi masing-masing kerana rakyat yang memilih mereka mewakili PR bagi membawa perubahan dalam agenda politik negara.
 
Ahmad berkata, selagi mana wakil rakyat yang dipilih kekal memperjuangkan matlamat berkenaan, maka mereka layak untuk terus menggalas amanah rakyat. 
 
Malah kata Ahmad, dari satu segi lain, tidak ada peruntukan perundangan dalam Perlembagaan Persekutuan mahupun amalan secara konvensional yang mengisyaratkan keperluan meletakkan jawatan.
 
 

Tiada ulasan: