Wujud ‘generasi gelandangan’ jika harga tidak dikawal, kata persatuan pembeli rumah
Purata
harga rumah di Malaysia kini 4 kali ganda lebih tinggi berbanding
pendapatan median penduduk, menjadikannya terlalu di luar kemampuan
pembeli. – Gambar fail The Malaysian Insider. Putrajaya
membenarkan harga rumah di Malaysia menjadi "terlalu mahal", kata
Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) sambil memberi amaran yang
masalah ini akan melahirkan "generasi gelandangan" pada masa depan jika
langkah sewajarnya tidak diambil terhadap peningkatan mendadak nilai
hartanah.
HBA mengatakan mereka sudah memaklumkan Putrajaya sebelum ini yang
harga hartanah melambung tinggi di luar kemampuan majoriti rakyat
Malaysia dan langkah memberi subsidi kepada golongan berpendapatan
rendah tidak akan dapat menyelesaikan masalah.
"HBA sudah memberi amaran kepada kerajaan bertahun lamanya yang harga
hartanah kini melangkau jauh dari kemampuan majoriti rakyat Malaysia.
"Dan sekiranya langkah sewajarnya tidak diambil kerajaan, ia akan
melahirkan 'generasi gelandangan' yang akan membawa kepada pelbagai
masalah sosial. "Perkara ini (subsidi) boleh dilaksanakan tetapi, kerajaan sudah
bertahun lama menyediakan subsidi dan perumahan sosial bagi golongan
miskin, tetapi adakah ia dapat membantu untuk menambah baik kehidupan
mereka? Tidak," kata Setiausaha Agung Kehormat HBA, Chang Kim Loong.
HBA tidak terkejut dengan hasil kajian yang didedahkan Institut
Penyelidikan Khazanah (KRI) baru-baru ini, di mana harga purata rumah di
Malaysia adalah 4 kali ganda lebih tinggi berbanding pendapatan median
penduduk, sekali gus menjadikan ia "terlalu di luar kemampuan"
(seriously unaffordable), kata Chang kepada The Malaysian Insider.
Kuala Lumpur khususnya dilabel sebagai kawasan "sangat di luar
kemampuan" (severely unaffordable) dengan harga rumah 5.4 kali ganda
lebih tinggi berbanding median pendapatan penduduk di ibu kota.
Terengganu adalah antara kawasan sangat di luar kemampuan berbanding
semua negeri di Malaysia dengan mencatatkan median kemampuan memiliki
rumah pada 5.5.
Pulau Pinang turut disenaraikan antara negeri yang mencatatkan median
kemampuan memiliki rumah yang tinggi manakala Selangor, negeri terkaya
Malaysia merekodkan median sebanyak RM300,000 sekali gus meletakkannya
di peringkat "sederhana mahal".
Julat median maksimum harga rumah berbanding pendapatan median tidak
sepatutnya melebih tiga kali ganda pendapatan median, menurut laporan
KRI.
KRI juga berkata kelas menengah rakyat Malaysia mungkin memerlukan subsidi kerajaan bagi pembelian rumah jika harga hartanah semasa terus meningkat.
Chang berkata, pemberian subsidi bukan satu penyelesaian yang holistik
kerana kerajaan perlu mengubah mentaliti daripada "memberi ikan" kepada
rakyat kepada mengajar rakyat "bagaimana menangkap ikan" atau memberi
kuasa kepada mereka.
"Apakah penyebab kenaikan harga rumah? Saya bukan pakar atau ahli
ekonomi tetapi saya percaya puncanya ialah sikap tamak – pemaju, pihak
berkuasa dan setiap pemain dalam industri perumahan," katanya.
"Mustahil untuk memantau moraliti manusia tetapi kita boleh mengawal
harga rumah. Kenaikan tersebut mestilah munasabah kepada peningkatan
dalam pendapatan tahunan seseorang individu."
Kerajaan, katanya juga boleh mengawal margin keuntungan dalam penjualan
hartanah malah ada industri lain di mana margin keuntungan syarikat
dikawal.
"Jika kerajaan boleh letakkan kawalan dan peraturan yang cukup ketat ke
atas industri minyak dan gas di negara ini, mengapa tidak boleh perkara
yang sama dilakukan kepada industri perumahan di mana pembeli secara
individu menghadapi risiko paling tinggi dari segi kewangan dan emosi
berbanding pemain lain?
"Dan kawalan margin keuntungan ini bukan sahaja dikenakan ke atas
pemaju tetapi perlu dilibatkan kepada semua sub-kontraktor, pembekal,
penjual, dan sebagainya," katanya.
Chang juga berkata, terdapat keperluan segera untuk membendung
spekulasi berlebihan yang mendorong peningkatan harga hartanah sejak
kebelakangan ini, sambil menegaskan, faktor yang paling mempengaruhi kos
ialah permintaan dan bekalan.
"Kita perlu menghapuskan spekulasi yang berlebihan yang mendorong
kenaikan harga hartanah. Apabila permintaan melebihi bekalan, harga akan
naik.
"Ketika harga rumah siap didorong spekulasi berlebihan, pemaju biasanya
akan melancarkan projek baharu pada harga premium berbanding harga
semasa rumah siap.
"Oleh itu, harga ketika pelancaran projek baharu dan rumah yang siap
adalah saling berhubungkait. Apabila harga salah satunya naik, yang lain
akan meningkat," katanya.
Kerajaan, katanya, mesti mengambil langkah melambatkan kenaikan harga
hartanah disebabkan oleh spekulasi yang berlebihan dan membina lebih
banyak hartanah yang mampu dimiliki golongan berpendapatan rendah dan
sederhana.
Beliau memberi amaran, trend harga hartanah seperti menunjukkan harga
akan terus meningkat di luar jangkauan majoriti rakyat dengan generasi
masa depan merasakan diri mereka terperangkap kerana tidak mampu
memiliki kediaman sendiri.
"Anak muda tidak mampu memiliki sebuah rumah pada harga yang
berpatutan, sesuai dan selesa untuk didiami, yang tidak memerlukan
mereka menderita membayar pinjaman bank atau mengharungi perjalanan
panjang berulang alik ke tempat kerja kerana tinggal di kawasan yang
jauh terpencil tetapi selesa.
"Anak muda perlahan-lahan menjadi generasi gelandangan. Harus diingat, mereka merupakan pemacu ekonomi masa depan bandar.
"Oleh itu, kerajaan perlu mengambil langkah wajar dan proaktif untuk
membendung peningkatan tidak terkawal harga rumah," kata Chang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan