shahbudindotcom
Timbalan
Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin dijangka kembali daripada luar negara
pada jam 4 petang hari ini (26 November) di KLIA. Hebahan mengenai
kepulangannya telah tersebar luas sejak semalam meminta para
penyokongnya beramai-ramai menyambut ketibaannya itu.
Muhyiddin
tidak hadir dalam mesyuarat MT 24 November lalu yang memutuskan beliau
tidak dibenarkan merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri
tahun ini, sebaliknya untuk pertama kali perasmian akan dilakukan oleh
ketua sayap masing-masing.
Dalam
kenyataan melalui laman Facebooknya semalam, walaupun menerima
keputusan MT itu dengan hati terbuka serta menghormatinya, tetapi
Muhyiddin tetap meluahkan rasa kesal dengan merintih, "apa dosa saya
sehingga diperlakukan begini?"
"Apalah
dosa yang saya lakukan terhadap UMNO sehingga tradisi berucap yang
saban tahun diberikan kepada seorang timbalan presiden UMNO dinafikan
kepada saya tahun ini?
"Atau
adakah ada mereka yang cukup takut dengan apa yang saya akan ungkapkan
di hadapan anak muda yang dipercayai boleh meluputkan keyakinan kepada
seorang pemimpin?" soalnya.
Walaupun
dihalang, Muhyiddin dalam masa yang sama menyatakan akan terus bersuara
dan tidak akan mengalah kerana tidak ada sesiapa yang dapat mendiamkan
daripada menyatakan yang hak.
Sebagai
pemimpin nombor dua dalam UMNO yang disingkirkan daripada kerajaan
hanya kerana bertanya beberapa soalan berkaitan 1MDB dan derma yang
diterima Najib, memang Muhyiddin berhak untuk terus bersuara,
lebih-lebih lagi memandangkan isu tersebut masih menjadi perbualan di
kalangan rakyat.
Tetapi,
sekadar bercakap saja bahawa beliau akan terus bersuara dan tidak ada
sesiapa mampu mendiamkannya, tentu saja tidak memadai.
Dalam
suasana politik UMNO yang sedang gawat dan beliau sendiri tidak lagi
dikehendaki oleh Najib, tetapi ramai di kalangan rakyat mengharapkan
sesuatu perubahan dapat dilakukan dengan segera, sekadar bercakap dan
memberi kenyataan media juga tidak lagi mencukupi.
Sekarang
adalah masa untuk Muhyiddin bertindak, berjuang dan menyerang.
Kegagalannya hadir dalam mesyuarat MT 24 November lalu memang dikesali
oleh sesetengah pihak kerana ia seolah-olah menunjukkan
ketidakseriusannya dalam perjuangan.
Kalau
pun beliau berada di penjuru dunia mana sekali pun, apakah tidak boleh
mengambil penerbangan balik dengan segera untuk menghadiri mesyuarat
itu?
Meskipun
tarikhnya diawalkan daripada 27 kepada 24 November, tetapi perubahan
tarikh itu sudah pun diketahui tiga atau empat hari sebelum itu.
Tanpa
apa-apa jawatan lagi dalam kerajaan, apakah urusan di luar negara yang
penting sangat sehingga tidak boleh ditinggalkan untuk menghadiri
mesyuarat MT?
Bukankah
jika Muhyiddin menghadiri mesyuarat MT tempohari, beliau dapat
mempersoalkan secara berdepan dengan Najib berhubung tindakan tidak
membenarkannya melakukan perasmian sayap-sayap itu?
Tentu
tidak perlu lagi merintih dengan menyebut, "apa dosa saya" semata-mata
untuk meminta simpati. Sebagai orang lama dalam UMNO, Muhyiddin
tentunya sedar bahawa perjuangan dalam politik adalah berkaitan kuasa
dan sama ada "membunuh" atau "dibunuh."
Dalam
politik, tidak ramai, malah mungkin tidak ada orang yang memikirkan
dosa dan pahala. Semuanya hanyalah kuasa. Dosa dan pahala diri sendiri
pun mereka lupa, apatah lagi untuk mengambil kira dosa dan pahala orang
lain.
Untuk
itu, Muhyiddin perlu berhenti merintih mengenai dosa, pahala atau
mengungkit-ungkit mengenai sumbangan masa lalunya. Sejuta kali beliau
menyebutnya pun belum tentu ada yang mengenangnya jika beliau masih
teragak-agak untuk bertindak, hanya berani bercakap, masih selalu ke
luar negara dan sesuka hati mengabaikan mesyuarat MT.
Di
ketika ini, Muhyiddin juga perlu sedar sudah beratus-ratus pemimpin
UMNO cawangan mulai bangun untuk menyelamatkan parti dan mendesak Najib
yang dianggap sebagai liabaliti agar berundur dengan segera.
Perjuangan
pemimpin akar umbi ini hendaklah disambut dan jangan dibiarkan begitu
saja. Berhentilah sekadar mengeluarkan kenyataan media, tetapi jasad
berada di luar negara.
Sekarang
juga bukan masanya lagi untuk merintih dan memperlihatkan dirinya
seolah-olah tidak berdosa dan teraniaya. Merintih dengan menyebut dosa
dan sebagainya hanyalah sesuai di masjid atau surau tempatnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan