HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 Februari 2016

BN Selangor desak Azmin jawab segera dakwaan Chegubard

Oleh Nur Atiqah Samad

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor mendesak Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali supaya menjawab segera semua dakwaan dilontar ahli partinya sendiri bersabit beberapa isu pembaziran dan penyelewengan membabitkan pentadbirannya.
 
Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Johan Abdul Aziz berkata, tidak cukup sekadar membuat penafian, sebaliknya Azmin perlu menunjukkan bukti kukuh bahawa semua tuduhan itu fitnah semata-mata.
 
"BN mendesak menteri besar untuk membuat kenyataan atau beri jawapan yang konkrit sama ada apakah maklumat yang didedahkan Chegubard itu benar atau tidak. 
 
"Kalau tidak benar kita harap menteri besar yang memegang amanah rakyat dan kerajaan negeri, tolong laksanakan amanah itu sebaik mungkin kerana ini tuduhan oleh kumpulan mereka sendiri (yang) seolah-olah menunjukkan kerajaan negeri ini di bawah Azmin tidak telus," katanya kepada Antarapos.
 
Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard Ahad lalu mendedahkan bukti penyelewengan projek pembalakan yang didakwanya tidak dilakukan menerusi tender terbuka seperti yang diberitahu Azmin.
 
Beliau mengemukakan dua dokumen yang didakwa sebagai salinan kertas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi membuktikan dua kawasan pembalakan diberikan terus kepada dua syarikat tanpa tender terbuka.
 
Sebelum ini Chegubard juga mengkritik Azmin berkaitan penggantian kubah Masjid Sultan Abdul Aziz Shah yang menelan belanja RM32.4 juta dan kontroversi pelantikan ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).  
 
Johan yang juga ADUN Semenyih berkata, rakyat berhak mengetahui sama ada tuduhan itu sahih atau tidak kerana ia melibatkan kegagalan pemimpin dalam menjaga amanah rakyat.
 
"Ini ada satu maklumat yang disahkan oleh Chegubard dan rakyat Selangor berhak mengetahui seolah-olah ada unsur tidak bertanggungjawab. Rakyat Selangor ingin tahu perkara ini benar atau tidak, kalau tak benar kemukakan bukti secara hitam putih," katanya.
 
Mengulas mengenai ketidaktelusan Azmin dalam memilih 'kroni' sebagai ahli majlis PBT, Johan menyifatkan ia sebagai tidak wajar kerana menyukarkan penduduk kawasan sekitar untuk membuat aduan.
 
"Ini sepatutnya tak berlaku dan tak berapa sihat kerana kalau ambil orang luar jadi ahli majlis di luar kawasan tempat tinggal sangat tak sesuai. Kalau ambil pemimpin tempatan, sekurang-kurangnya mereka arif di kawasan itu. Kalau orang Kuala Selangor jadi ahli majlis di PJ, mana dia nak tahu tentang sekitar kawasan tersebut?
 
"Ahli majlis ni peranan dia menjaga sebahagian kawasan, sekarang ni zaman canggih semua guna alam maya tapi dia tak boleh nak menjawab pertanyaan penduduk dengan segera dan mahu mencari orang yang arif tentang kawasan tu. Jadi saya rasa ia tak wajar Azmin memilih ahli majlis ini atas dasar kawan," ujarnya.
 
Terdahulu Chegubard bersama beberapa pimpinan cabang PKR di Selangor mendakwa Azmin tidak telus dan tidak menghormati akar umbi parti dalam pemilihan 288 ahli majlis PBT di negeri berkenaan.
 
Chegubard berkata Azmin membelakangkan cadangan ahli majlis daripada cabang tertentu di Selangor dan garis panduan oleh Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang dikeluarkan pada 2013.
 
Perkara itu didedahkan beberapa ahli dan Naib Ketua Cabang PKR Kelana Jaya yang mendakwa seseorang dari kawasan mereka dilantik sebagai Ahli Majlis kawasan lain seperti Sepang, Kuala Langat dan Subang Jaya. 


Tiada ulasan: