Artist Fahmi Reza sedang disiasat kerana menghasilkan karya karikatur Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ‘bermuka badut’ yang kemudiannya dimuat naik ke akaun Twitter dan Instagram bulan lalu.
Fahmi disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia atas dakwaan menyalahgunakan rangkaian telekomunikasi dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan atas tuduhan berkaitan dengan sengaja membuat penghinaan bagi mencetuskan ketenteraman awam.
“Aku bersedia untuk terus melawan untuk mempertahankan hak dan kebebebasan kita untuk mengkritik penguasa yang korup.
“Dan aku tidak takut untuk menghadapi sebarang kemungkinan kerana aku tahu korang semua tak akan biarkan aku berjuang sendirian,” katanya dalam Facebook hari ini.
“Kerana dalam negara yang penuh dengan korupsi, kita semua penghasut katanya, merujuk kepada slogan yang digunakannya dalam karikatur muka badut itu yang pertama kali dimuat-naik sebagai sebahagian daripada kempen anti-Akta Hasutan.
Fahmi, yang kini di luar negara, berkata beliau akan kembali ke negara pada hujung minggu ini dan memberi keterangan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Ahad ini.
Karikatur Najib bermuka badut itu juga menjadi berita utama antarabangsa apabila polis memberi amaran kepada Fahmi di Twitter.
NGO mesra BN, Gerakan Merah membuat laporan polis terhadap Fahmi awal bulan ini atas dakwaan artis itu cuba meniupkan api kebencian rakyat Malaysia terhadap Najib.
Jika didakwa dan disabitkan kesalahan itu, beliau berdepan dengan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.
Rakan-rakan artis lain kemudian bertindak balas terhadap cubaan untuk menyekat kebebasann berkarya Fahmi dengan berkongsi karikatur badut yang mereka hasilkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan