SHAH ALAM: Penganalisis politik Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani
berpendapat, kontroversi berhubung pemecatan dua ahli PKR Pulau Pinang
dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) merupakan masalah dalaman parti.
Ujarnya yang melihat perkara ini menyerlahkan kelemahan dalam Pakatan
Harapan (PH) apabila mempunyai barisan kepimpinan yang gagal
menyelesaikan perkara ini sekaligus menimbulkan ketidakpuasan hati
antara satu sama lain.
"Saya rasa keputusan memecat dua ADUN dalam GLC itu tidak dibincang
secara baik dengan kepimpinan PKR, jadi itulah yang menyebabkan rasa
tidak puas hati dengan PKRlah," katanya kepada Antarapos ketika
dihubungi.
Jelasnya, tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang
mengaitkan keputusan tersebut sama seperti tindakan PKR yang memecat Tan
Sri Khalid Ibrahim, adalah sesuatu perkara yang tidak wajar sedangkan
ia adalah dua isu yang berbeza.
"Benda ini diungkit baliklah sebab dalam kes Menteri Besar itu (Tan Sri
Khalid Ibrahim), Lim Guan Eng atau DAP setia duduk di belakang PKR
walaupun isu sebenarnya adalah masalah dalam PKR itu sendiri.
"Saya rasa benda ini dikaitkan semula, jadi saya rasa satu benda tidak
eloklah sebenarnya kalau dikaitkan dengan di Selangor dengan isu ini,"
katanya.
PKR bersama DAP kini dilihat tidak sepakat berhubung pemecatan ADUN
Kebun Bunga Cheah Kah Peng dan ADUN Bukit Tengah Ong Chin Wen daripada
Penang Hill Corporation dan Invest Penang and Island Golf Properties
Bhd, anak syarikat kepada syarikat pelaburan kerajaan negeri Perbadanan
Pembangunan Pulau Pinang.
Dua ADUN berkenaan ialah antara lima ADUN yang dilarang mengundi
terhadap usul dibawa Barisan Nasional berhubung pengambilan tanah ketika
persidangan Dewan Undangan Negeri pada November lalu.
Tambah pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) ini lagi, lebih
memburukkan keadaan apabila kedua-dua pemimpin utama ini membawa isu ini
kepada media, sedangkan ia boleh dibincangkan secara tertutup sesama
mereka.
"Saya lihat mereka ini (Guan Eng dan Azmin Ali) bercakap dalam media,
kalau dijadikan satu perdebatan dalam media, saya rasa mungkin tidak
elok kepada Pakatan Harapan sebab Azmin dan Lim Guan Eng dua pemimpin
utama dalam Pakatan.
"Jadi saya rasa kalau ada masalah, sepatutnya mereka menyelesaikan
secara berjumpa dan menyelesaikan keadaan secara baiklah tanpa
melibatkan media," katanya.
Perkara ini sedikit sebanyak menjejaskan kredibiliti PH, bagaimana
pembangkang mahu menjadi kerajaan apabila isu dalaman parti sendiri
gagal diselesaikan, soal beliau.
"Sekarang ini dalam PKR, saya rasa mereka perlu pandai menguruskan
masalah, kalau mereka membawa isu ini kepada media untuk diperdebatkan,
saya rasa rakyat akan tengok mereka ini tidak bersatu dan tidak
berpadukan.
"Kalau tidak, dia boleh membawa perpecahan dalam Pakatan Harapan itu sendiri," katanya.
Terbaru, Guan Eng meminta supaya Azmin memahami keputusan yang dibuat
kerajaan negeri yang memecat dua ADUN PKR sebagai pengarah GLC.
Jelas Guan Eng, tindakan itu dibuat sama seperti mana yang berlaku
ketika Khalid menjadi Menteri Besar Selangor ekoran membuat keputusan
membelakangkan parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan