SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dituduh
semakin angkuh dan enggan menerima teguran, menyebabkan ramai pemimpin
PKR mula menjauhkan diri daripada beliau, kata seorang pemimpin dan
wakil rakyat parti itu.
Beliau yang sebelum ini sinonim dengan 'kem' Azmin berkata ramai
dikalangan akar umbi dan pemimpin tidak selesa dengan tindak tanduk
Azmin akhir-akhir ini.
"Sudah ramai yang menyatakan hilang sokongan kepada Azmin. Dan perlu
ingat, bahawa inilah tempoh yang paling kritikal terhadap Azmin,"
katanya kepada Antarapos.
Azmin adalah timbalan presiden PKR selain memimpin PKR Selangor.
Sungguhpun parti itu masih diterajui oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail, pemusatan kuasa dilihat lebih ditangan Azmin seraya dengan
kedudukannya sebagai MB di negeri termaju di Malaysia.
Bagaimanapun selepas 18 bulan memegang jawatan itu, teguran-teguran terhadap Azmin semakin lantang dan dilontar secara terbuka.
Antara pengkritik utama Azmin adalah bekas pemimpin cabang PKR Rembau
dan Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham
Shaharin atau Chegubard.
Manakala di Selangor sendiri, Setiausaha Cabang PKR Kelana Jaya S.
Murali menuduh Azmin sebagai tidak telus dalam pemilihan ahli majlis
Pihak Berkuasa Tempatan.
Pemimpin PKR yang tidak mahu namanya disiarkan memberitahu Antarpos
bahawa ramai dalam parti melhat Azmin sebagai tidak pro aktif dalam
menepis tuduhan-tuduhan itu dengan fakta dan kebenaran.
"Azmin sepatutnya sedar diri tentang hal ini. Hari-hari ada sahaja yang
menyerang beliau. Chegubard sendiri kata bahawa beliau mahu dedahkan
segala minit mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN).
Malah S. Murali (Setiausaha Cabang PKR Kelana Jaya) juga nak dedah peraturan PBT," luahnya lagi.
Tambah pemimpin berkenaan, sikap sambil lewa Azmin menghadapi tuduhan
berkenaan menguatkan lagi rasa berang pemimpin-pemimpin parti terhadap
Timbalan Presiden PKR itu.
"Apabila serangan dan dakwaan itu berfakta, Azmin kena juga menjawab
secara berfakta. Jangan jawab secara dongengan. Sebab akan jadi banyak
pihak membuat spekulasi dengan cara mereka sendiri,” kata beliau.
Menurut pemimpin itu, sokongan untuk menteri besar itu semakin menyusut
kerana beliau dilihat gagal menyelesaikan pelbagai permasalahan rakyat.
"Azmin tidak selesaikan masalah yang dibawa akar umbi dan rakyat. Ramai
pihak nak jumpa beliau. Tetapi apa masalah Azmin sampai tak mahu jumpa
mereka?," soalnya lagi.
Sejak memegang tampuk kepimpinan kerajaan negeri bermula September 2014, Azmin dipalitkan dengan pelbagai kontroversi.
Terbaru Azmin dikaitkan dengan peruntukan kontrovesi RM9.7 juta dalam projek pintu gerbang Kota Darul Ehsan.
Beliau juga dibelit dengan dakwaan pemberian projek balak secara tidak
telus, selain dakwaan campurtangan dalam pelantikan ahli-ahli majlis
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Tindakan Azmin merestui projek penukaran kubah Masjid Negeri Shah Alam
yang berjumlah RM32.4 juta dipersoal pelbagai pihak, namun beliau
menggunakan alasan ia 'dibenarkan' atas nama Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan