[ULASAN] Kalau
ikut firasat politik DAP, PAS tidak harus mengisi sebarang kerusi
pentadbiran di mana-mana peringkat kerajaan Selangor. Ini kerana PAS
bukan kerabat Pakatan Harapan.
Bagaimamanpun PKR tidak bersetuju. Ia bertegas mengatakan bahawa demi
menghormati keputusan rakyat pada pilihan raya umum ke-13, anggota
Pakatan Rakyat, termasuk PAS, harus diizin bersama mentadbir Selangor.
DAP terkedu dan kecewa. Namun ia tidak mencabar secara terbuka
pendirian PKR yang ia (DAP) telah bersetuju mentadbir Selangor meskipun
PKR tidak mempunyai kerusi Dewan Undangan Negeri yang lebih banyak
daripadanya.
Namun DAP nampaknya tidak mahu melupakan ketegaran PKR itu. Bagi DAP
musuh dan virus yang membunuh Pakatan Rakyat yang ditubuhkan pada 2008,
adalah PAS, dan, parti itu adalah tetap musuhnya.
DAP menahan sabar dan tidak pula menunjukkan secara terbuka
kesediaannya menyokong Parti Amanah Negara (PAN) supaya secara mutlak
parti serpihan itu dapat mengambil alih tempat PAS dalam kerajaan
Selangor.
Bagaimanapun untuk menunjukkan ketidakpuasan hatinya terhadap sikap
politik PKR, DAP memilih dan tempat yang ia mempunyai kuasa penuh untuk
mempamerkan perasaannya yang sebenar.
Peluang ini muncul apabila lima ahli dewan undangan negeri PKR tidak
akur pada pendirian DAP berhubung isu bagaimana mahu mentadbir Pulau
Pinang, DAP tidak teragak-agak “mengajar” PKR bagaimana cara menggunakan
kuasa.
Dua daripada lima ADUN PKR dihukum. ADUN Bukit Tengah, Ong Chin Wen,
ditamatkan khidmatnya sebagai pengarah Penang Invest dan Island Golf
Properties Bhd, sebuah anak syarikat Perbadanan Pembangunan Pulau
Pinang.
Sementara ADUN Kebun Bunga, Cheah Kah Peng ditamatkan khidmatnya sebagai pengarah di Perbadanan Bukit Bendera.
Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng
berkata, DAP bertindak demikian kerana hilang keyakinan terhadap ADUN
PKR yang pada awalnya bersetuju dengan DAP dalam isu penambakan laut,
tetapi kemudian mungkiri janji.
Beliau berhujah bagaimana “ADUN PKR yang menentang pendirian kerajaan
DAP” boleh berfungsi dengan berkesan dan profesional jika mereka
bersilang pendirian dengan kerajaan majoriti DAP yang dipimpinnya.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali cuba menegur tindakan DAP
terhadap ADUNnya itu dengan mengumumkan bahawa Biro Politik PKR
membantah tindakan Guan Eng itu.
Menurut Azmin Ali, kedua-dua wakil rakyat parti itu hanya menyuarakan pandangan yang mengambil kira kepentingan rakyat.
"Sebagai ahli DUN, mereka memberikan maklum balas dan pandangan dalam
perkara ini perlu diraikan dan tidak perlu mengambil tindakan terhadap
mereka.
"Biro Politik PKR pada minggu lalu telah membuat ketetapan menghantar
surat kepada kerajaan negeri Pulau Pinang supaya perkara ini dapat
dibincang secara baik dalam keadaan yang harmoni," kata Azmin.
Soalnya, adakah DAP peduli setelah PKR dilihat tidak menghargai dan
memberi pertimbangan saksama terhadap perkembangan politik semasa di
mana PAS yang sudah bercerai kasih dengan PKR dan DAP masih diizinkan
oleh PKR berkongsi kuasa di Selangor.
Lantas, oleh kerana dalam kes Pulau Pinang DAP ada majoriti mutlak
untuk memerintah, Guan Eng dijangka tidak akan memberi pertimbangan
berat akan protes PKR itu.
Sikap tegas DAP dapat dijangka memandangkan PKR juga tidak meletakkan
rasa hormat yang sewajarnya terhadap perhubungan politiknya dengan DAP.
Lantas, seperti dalam kes usulnya menolak PAS daripada kerajaan
Selangor, DAP memilih tidak mahu memberi komen terhadap sikap wewenang
PKR melayani pemimpinnya di Selangor.
Kes pemimpin DAP Selangor, Dr Aziz Bari tidak diberi tempat dalam
hiraki pentadbiran Selangor juga pasti telah “menjolok ketidakselesaan
DAP” terhadap tahalufnya dengan PKR.
Syor DAP supaya Aziz dimasukkan dalam senarai ahli Majlis kerajaan
Tempatan Ampang Jaya, tidak dilayan PKR. Malah sebaliknya, PKR nampaknya
berdolak dalik dalam isu berkenaan “seolah-olah memandang rendah syor
DAP itu”.
Kenyataan Setiausaha Politik Azmin, Shuhaimi Shafie yang menganggap
pihak yang mempertikaikan keputusan PKR berhubung isu pelantikan ahli
majlis PBT itu sebagai “buta” dilihat mampu memarakkan suhu hubungan
PKR-DAP.
Kenyataan Shuhaimi itu adalah reaksi kepada Setiausaha PKR Cabang
Kelana Jaya, S. Murali; Ahli Jawatankuasa PKR Gombak dan Selayang, B.
Rajandran dan aktivis PKR, Badrul Hisham Shaharin yang menuduh Azmin
mengamalkan kronisme dalam isu pelantikan PBT.
Namun bagi DAP ia tidak mengubah persepsi bahawa pada akhirnya perkara yang mendasari isu itu ialah syor DAP ditolak.
Shuhaimie berkata, dakwaan berkenaan adalah liar, jahat dan tidak
berasas memandangkan senarai pelantikan ahli majlis PBT bukan ditentukan
oleh Menteri Besar sebaliknya diputuskan oleh jawatankuasa dianggotai
wakil PAN, DAP, Pas dan PKR.
“Maka tidak ada timbul soal kroni, politik dendam dalam isu pelantikan
ahli majlis PBT. Nama yang Menteri Besar terima adalah nama yang
dihantar oleh semua parti dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan), tidak ada
pindaan.
“Mereka (pihak yang membuat dakwaan sedemikian) ini mungkin tidak faham
proses cadangan serta membuat keputusan mengenai pelantikan ahli majlis
PBT. Mungkin mereka lakukan kerana tidak dilantik untuk jawatan
tersebut,” katanya.
Hakikatnya ialah, Aziz Bari yang dicalonkan oleh DAP ditolak kerajaan
pimpinan PKR. Ini membuat Aziz terpanggil untuk memberi pandangannya
yang kini jelas membayangkan pemikiran DAP.
Katanya, PKR dilihat berdolak-dalik dalam isu komitmennya terhadap
Pakatan Harapan sebenarnya kerana ia tidak yakin kepada kekuatan
dalamannya sendiri.
"Yang mungkin kalau kita tengok dolak-dalik PKR dalam Pakatan Harapan
menunjukkan bahawa mereka tidak yakin kepada struktur dan kekuatan
organisasinya.
"Kalau tidak, masakan lagi dia tidak bersedia untuk menceraikan PAS.
Saya fikir itu satu petanda bahawa PKR sendiri tidak mempunyai
keyakinan... untuk bergerak sebagai sebuah parti politik," katanya.
Jika tepat penilaian Aziz itu, tidak hairanlah jika hubungan dan
kerjasama di antara PKR-DAP akan semakin tegang dan meruncing pada
hari-hari yang mendatang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan