HALAMAN SANTAI

Sabtu, 23 April 2016

Batal lesen Rayani Air jika DCA tak puas hati – Menteri

FREE MALAYSIA TODAY


Ia akan mengambil kira pelbagai faktor termasuk kebolehan atau keupayaan syarikat penerbangan itu untuk meneruskan operasi mereka.


Liow-Tiong-Lai_Rayani_600


ALOR GAJAH: Lesen perkhidmatan udara dan sijil pengendali udara syarikat penerbangan Rayani Air akan dibatalkan jika Jabatan Penerbangan Awam (DCA) tidak berpuas hati dengan penjelasan mengenai operasi syarikat itu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, tindakan berkenaan akan mengambil kira pelbagai faktor termasuk kebolehan atau keupayaan syarikat penerbangan patuh syariah pertama Malaysia itu untuk meneruskan operasi mereka.

“Kita masih memberi peluang kepada Rayani Air memberi penjelasan kepada DCA berhubung isu yang timbul sepanjang operasinya bagi tempoh tiga bulan ini sebelum tindakan lanjut diambil.

“Ketika ini kita masih lagi mengadakan perbincangan dengan Rayani Air dan setakat ini kita belum mendapat maklumat lanjut untuk sebarang tindakan terhadap syarikat itu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan `Karnival Teguh Bersama’ di Machap Baru di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan penggantungan sementara Sijil Operator Udara (AOC) Rayani Air selama tiga bulan berkuat kuasa 11 April lepas.

Penggantungan sementara tersebut dikeluarkan DCA selepas syarikat yang baharu beroperasi pada Disember lepas itu mengumumkan menggantung operasi penerbangan mereka sendiri tanpa kebenaran DCA pada 8 April lepas.

Mengulas kegagalan Rayani Air menjelaskan tunggakan gaji pekerjanya, Liow berkata, aduan itu boleh disalurkan kepada pihak berkuasa yang diwujudkan kerajaan bagi melindungi hak pekerja antaranya Jabatan Perhubungan Perusahaan.

Beliau berkata, pekerja syarikat berkenaan juga berhak mengambil tindakan undang-undang sekiranya ia adalah jalan penyelesaian terhadap kegagalan majikan menjelaskan tunggakan gaji mereka.– BERNAMA

Tiada ulasan: