Megat
Mohd (dua, kanan) mendukung bayi perempuan yang ditemui di Apartment
Sri Dahlia Laman Puteri 3 di Bandar Puteri, di sini malam semalam. -
Foto Sinar Harian
PUCHONG - Penduduk blok A, Apartment Sri Dahlia Laman Puteri 3 di Bandar Puteri, Puchong gempar dengan penemuan seorang bayi yang dibungkus dalam plastik dan ditinggalkan di depan unit sebuah rumah, lewat malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam, seorang pemilik rumah dikatakan menyedari kewujudan bayi berkenaan apabila terdengar bunyi tangisan tanpa henti.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohd Aminuddin Megat Alias berkata, curiga dengan tangisan berkenaan, penduduk mencari arah bunyi tersebut sebelum menemuinya dalam sebungkus plastik yang bergerak.
Menurutnya, penduduk memaklumkan menemui mangsa dalam plastik yang ditemui ‘bergoyang’ sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut.
“Apabila dibuka, terdapat seorang bayi perempuan di dalamnya yang lengkap berseluar warna putih dan berbaju lengan panjang berwarna biru putih.
Katanya, tiada sebarang kecederaan ditemui pada tubuh badan mangsa kecuali terdapat ruam susu di bahagian pipi.
“Bayi ini mungkin berusia antara dua dan tiga bulan berdasarkan keadaan saiz tubuh badannya serta masih belum diketahui status warganegara,” katanya siasatan masih dijalankan bagi mencari indidivu yang meninggalkan mangsa di depan unit rumah pangsapuri terbabit.
Mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan lanjut.
Mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh meghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang ditalian 03-80742324.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan