HALAMAN SANTAI

Ahad, 3 April 2016

Nazri: Usul pecat pemimpin Umno pada mesyuarat MT

BERNAMA




Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata usul bagi pemimpin UMNO yang terlibat dalam 'Deklarasi Mahathir' dipecat daripada parti akan dibawa pada mesyuarat MT akan datang.

Beliau berkata tindakan itu perlu kerana sudah jelas perbuatan itu melanggar disiplin parti.

"Akan diusulkan dalam mesyuarat MT UMNO akan datang agar mereka daripada UMNO yang menghadiri atau menandatangani deklarasi itu untuk menjatuhkan pemimpin (presiden) parti dikenakan tindakan dipecat daripada parti.

"Segala prosedur akan dibuat oleh parti dengan (terlebih dahulu) menghantar surat tunjuk sebab kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dengan Ketua-Ketua Kampung dan Ketua UMNO di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kangsar, hari ini.

Mohamed Nazri berkata beliau percaya laporan tentang pemimpin terbabit telah dibuat kepada jawatankuasa disiplin parti untuk pertimbangan dan siasatan dan hasil laporan itu akan dibentangkan pada mesyuarat MT.

Nazri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembabitan pemimpin UMNO dalam Deklarasi Mahathir yang diketuai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bertujuan menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri dan presiden UMNO.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Ketua-Ketua Kampung Parlimen Padang Rengas Osman Rani Yang Ramli berkata satu memorandum telah diserahkan kepada Mohamed Nazri yang menyatakan sokongan penuh bagi Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat daripada parti.

Katanya ini kerana tindakan Muhyiddin menandatangani deklarasi itu jelas bertentangan dengan perlembagaan parti.

"Semua ketua kampung dalam kawasan Parlimen Padang Rengas memberikan sokongan penuh kepada presiden Datuk Seri Najib untuk mengambil tindakan dan langkah-langkah bagi mengembalikan maruah parti dan kerajaan," katanya.-Bernama


Tiada ulasan: