KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno Malaysia mendesak Tenaga Nasional
Berhad (TNB) menawarkan rebat khas bersifat 'one-off' bagi setiap bulan
sepanjang fenomena El-Nino bagi mengurangkan beban rakyat.
Naib Ketua Pemudanya, Khairul Azwan Harun berkata TNB perlu segera
menghalusi formula dan kaedah rebat khas itu demi kepentingan rakyat.
"PPUM beranggapan ini adalah adil kerana pihak TNB tidak sepatutnya
melihat kantung korporat semata-mata dengan keuntungan berlebihan ekoran
kepanasan terik yang dideritai rakyat.
"Malahan sebarang cadangan penjimatan penggunaan tenaga tidak sesuai
kerana masakan rakyat dapat berjimat menggunakan elektrik apabila
keperluan itu sudah terdesak," katanya di dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya prihatin tentang keperitan rakyat yang melalui
fenomena El-Nino atau pemanasan suhu permukaan laut yang melanda
sekarang ini sehingga mengakibatkan sebilangan sekolah ditutup di
beberapa negeri.
"Sudah pastinya juga rakyat akan menggunakan tenaga elektrik lebih
daripada biasa bagi peralatan elektrik seperti penghawa dingin, kipas
mahupun peti sejuk," katanya.
TNB dalam kenyataan semalam menjelaskan cuaca panas terik dan kering
berpanjangan sehingga ke hari ini mengakibatkan permintaan tertinggi
elektrik di Semenanjung Malaysia mencatatkan bacaan 17,788 MW pada Rabu
(20 April), meningkat 37.82 peratus berbanding 1 Januari lepas (12,906
MW).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan