Oleh Mohd Sayuti Omar
Pilihan raya umum negeri Sarawak akan diadakan bila-bila masa dari sekarang. Ketua Menteri Adenan Satem telah pun menghadap Yang diPertua Negeri, Taib Mahmud untuk meminta perkenan DUN Sarawak dibubarkan. Tarikh bila akan diadakan, tergantung kepada SPR yang akan bermesyuarat dan mengumumkan tarikh-tarikh penting pilihan raya berkenaan.
Dipercayai pilihan raya Sarawak akan berlangsung pada April ini juga. Saya menjangkakan paling awal hujung bulan dan paling lewat awal Mei. Bagaimana pun ia bergantung kepada persiapan pihak BN Sarawak.
Kesegeraan
pilihan raya Sarawak akan dilihat kepada penyelesaian beberapa isu yang
membelit Najib Razak. Ia tidak boleh dilambatkan kerana isu membelit
Najib akan memberi kesan sedikit sebanyak. Isu yang menghentam PM itu
tampaknya bukan mudah untuk lengsai.
Dalam pada
itu selalunya SPR yang mengaku bertindak adil dan saksama, telus dan
terbuka, akan memberi kelebihan (perioriti) kepada parti yang
memerintah. Sarawak diperintah BN. Tidak terfikir Pengerusi SPR yang
baru Hashim Abdullah, asal Kelantan, bertindak berbeza dengan
pengerusi-pengerusi SPR sebelum ini.
Dalam
pilihan raya kali ini sebanyak 82 kerusi dipertandingkan dengan tambahan
11 kerusi baru apabila persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri
diluluskan. Parti PBB yang menjadi parti tunggak BN di Sarawak
menyakini mereka akan menang besar. Keyakinan itu ada asasnya. Antara
sebabnya populariti Adenan sebagai ketua menteri baharu menggantikan
Taib.
Kedudukan atau pencapaian pada pilihan
raya lalu, parti bekas pimpinan Taib Mahamud itu mendapat 35 kerusi,
manakala regunya daripada SUPP mendapat enam (6) kerusi, SPDD juga enam
(6) kerusi dan PRS memperolehi 8 kerusi. SUPP mengalami kekalahan teruk
dan memalukan, ini termasuk presidennya sendiri yang juga Timbalan Ketua
Menteri, George Chan Hong Nam tewas.
Kemerosotan
parti Cina itu menunjukkan peningkatan dan penerimaan DAP di kalangan
masyarakat Cina di negeri Bumi Kenyalang itu menggalakkan. DAP yang
sebelumnya mempunyai 6 (enam) kerusi meningkat 12 kerusi, kebanyakan
kerusi dimenangi di kawasan bandar. Senario itu juga menyebabkan apa
yang menjadi tumpuan dalam pilihan raya kali ini dari kalangan oposisi
ialah DAP, bukan PKR atau Pas.
Untuk pilihan
raya kali ini DAP mensasarkan bagi menafikan majoriti 2/3 BN di DUN
Sarawak. DAP tidak bernafsu besar untuk memerintah Sarawak. Apa
dilakukan parti itu mengukur baju dibadan sendiri dan senantiasa
bersikap tasamuh. Ia jauh lebih rasional berbanding parti agama Pas yang
bercadang untuk letak 11 calon walaupun tenaga dan kemampuan batin
kurang. Dalam pilihan raya lalu Pas letak 5 calon, semua kalah.
Hasrat
Pas itu tidak masuk akal, melainkan ia sebagai hendak tunjuk "agah"
sahaja itu kepada Parti Amanah Negara (Amanah). Pas seharusnya tidak
berkeras dan berbalah dengan Amanah. Parti itu harus berbaik dan
berpakat dengan bekas rakannya itu bagi menghadapi pilihan raya Sarawak.
Cubalah berpolitik secara "berpancabudi". Kalau ini dipraktikan mungkin
hasrat Pas untuk mendapat kerusi sulung akan berjaya.
Alasan
Pas meletak calon sebagai misi dakwah bukan sangat untuk menang pilihan
raya. Kalau begitulah cara Pas elok parti itu menukar pendekatan
politiknya di Sarawak dengan bergerak sebagai jemaah Tabligh atau badan
bebas daripada politik. Politik memerlukan strategi, dan strateginya
haruslah tersaul dek akal.
Manakala bagi PKR
pula, dalam pilihan raya lalu telah meletak 49 calon dan menang hanya
satu kerusi sahaja. PKR walaupun dilihat jauh lebih baik daripada Pas,
tetapi masih juga berhadapan dengan masalah tersendiri. Masalah parti
itu ialah apabila dua kelompok saling cuba menonjol dan merebut
kekuasaan dalam parti, yakni Melayu dan Dayak/Kadazan.
Kepimpinan
PKR kini dipegang oleh Baru Bian, bekas pemimpin Parti Bangsa Dayak
(PBD) yang telah dimansuhkan. Keberadaanya di situ kurang disenangi oleh
ethnik Melayu. Malangnya pula PKR tidak ada tokoh seperti Baru Bian
untuk ditonjol sebagai pemimpin dan mereka juga masih berlegar di
kalangan ethnik Melayu sahaja. Dalam kata lain PKR belum ada seorang
tokoh bertaraf kebangsaan untuk memimpin parti itu.
Beberapa
tokoh politik bekas PBB, pula kebanyakan sudah usang dan tidak
mempunyai karisma lagi sebagai ahli politik yang penuh dengan
sophisticated.
Keadaan yang ada dalam PKR,
perebutan kuasa dua kumpulan itu menyebabkan ia kurang diyakini oleh
rakyat Sarawak. PKR belum berjaya meletakkan ia sebagai wadah pengganti
PBB atau setanding dengan DAP.
Kelemahan inilah
bakal memberi kesan kepada PKR untuk mendapat banyak kerusi dalam
pilihan raya nanti. Kalau PKR dapat tambah satu atau dua kerusi ia
dikira sudah memuaskan. Menjadi tugas dan tanggungjawab pemimpin PKR di
Kuala Lumpur untuk meredakan perasaan saling ragu meragui antara dua
etnik dalam parti itu bagi melihat parti itu bersepadu.
Melihat
kepada pelbagai masalah dan titikbengik yang berlaku dalam parti
oposisi ini, terutamanya PKR dan Pas, sukar untuk oposisi menafikan
kekuasaan majoriti 2/3 BN di DUN Sarawak seperti mana disasarkan DAP.
Bagaimana pun jangan terkejut kalau DAP dapat menambahkan satu dua lagi
kerusi pada pilihan raya kali ini untuk meletakkan parti itu terus
menjadi parti oposisi besar di Sarawak?
Untuk
oposisi mencapai kejayaan dalam pilihan raya itu nanti, terbaik ialah
menerima formula diberikan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.
Oposisi perlu elak dari bertanding melibatkan sesama sendiri.
Pertandingan tiga penjuru akan memberi keuntungan kepada BN. Selagi
boleh bincang parti oposisi hendaklah berbincang hingga sampai ke saat
akhir.
Pilihan raya Sarawak ini juga tidak
memberi kelebihan kepada oposisi seperti mana pilihan raya yang ke-10
lalu. Ketiadaan dua orang tokoh yang menjadi ikon rakyat, menyebabkan
sambutan rakyat Sarawak tidak seteruja dahulu. Apa dimaksudkan ialah
ketiadaan Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Anwar Ibrahim. Dalam pilihan raya
lalu, kedua mereka "bercawat kote" untuk mempengaruhi rakyat Sarawak
agar menyokong pembangkang.
Kehadiran mereka di
beberapa lokasi ceramah yang saya saksi sendiri mendapat sambutan
hangat. Misalnya ceramah Nik Aziz di pinggir bandaraya Kuching dihurungi
masyarakat Cina yang luar biasa. Naik rimas bekas MB Kelantan itu
dengan telatah anak-anak muda dan remaja Cina betina yang ingin bersalam
dengannya.
Begitu juga dengan ceramah oleh
Anwar penuh pepak dengan orang ramai. Mereka berdua dianggap sebagai
tokoh pembaharuan dan perubahan kepada politik Sarawak ketika itu. Kini
mereka berdua tidak mungkin akan berpartisipasi lagi. Tokguru sudah
tiada manakala Anwar direhatkan di Sungai Buloh.
Walaupun
Pas masih ada pemimpin spiritual yang baharu, tetapi keupayaan dan daya
magnetik yang ada kepada mereka tidak sehebat Nik Aziz. Abdul Hadi
Awang sendiri walaupun kerap turun ke Kuching tetapi masih gagal untuk
menarik hati masyarakat pelbagai etnik di Sarawak kecuali diberi
sambutan oleh anak-anak Kelantan yang bergabung dalam Perakan atau
anak-anak Terengganu sahaja sambil makan ikan terubuk bakar.
Apa
yang disebut itu, memberi kesukaran untuk oposisi menang besar di
Sarawak kali ini. Kesimpulannya pilihan raya ke11 Sarawak kali ini tetap
akan berstatus quo dengan BN akan menjuarai pilihan raya berkenaan. Dan
kemenangan besar nanti akan digunakan Najib bagi menunjukkan kepada
rakyat (Melayu) di Semenanjnung bahawa dia masih relevan untuk terus
jadi PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan