HALAMAN SANTAI

Sabtu, 23 April 2016

PM juga ingatkan tiada jalan pintas ke syurga

MALAYSIAKINI




Perdana menteri mengingatkan orang ramai terhadap gesaan khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini bahawa tiada jalan pintas ke syurga.

“Saya di Masjid Putra (di Putrajaya) tadi, khutbah mngenai tiada jalan pintas ke syurga.

“Kita perlu usaha ke arahnya dengan menegakkan rukun Islam dalam kehidupan seharian,” kata Datuk Seri Najib Razak di Twitter.
Khutbah Jakim hari ini mengingatkan tiada jalan pintas ke syurga dan fahaman berkaitan jihad yang ekstrim harus dielakkan.

Mimbar juga menegaskan bahawa jihad qital (perang) ialah urusan pentadbiran negara yang perlu menepati maqasid syariah atas maslahah umum.

Malaysia antara negara kelihatan serius berkempen menentang ancaman keganasan global, terutamanya daripada kumpulan bersenjata IS.

Awas jerebu

Sementara itu, Najib dalam siri tweet beliau turut menyentuh fenomena jerebu yang kembali melanda beberapa kawasan di Malaysia.

Beliau justeru mengingatkan pekerja-pekerja, terutamanya yang berada di luar kawasan tertutup, supaya memakai penutup mulut bagi menjaga kesihatan.

“Kegiatan fizikal di luar juga, terutamanya untuk warga emas dan anak-anak wajar dikurangkan sekiranya kawasan sekitar mengalami jerebu teruk,” tulisnya.

Kawasan yang mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat meningkat kepada empat setakat pukul 2 petang ini berbanding dua pada pagi tadi.

Putrajaya dan Cheras, Kuala Lumpur masing-masing mencatatkan IPU 103 dan 108.

Pelabuhan Klang, Selangor mencatatkan peningkatan IPU daripada 105 kepada 107 manakala Miri, Sarawak turun kepada 142 berbanding 146 pada pukul 11 pagi tadi.

Sebanyak 21 kawasan mencatatkan bacaan IPU baik, manakala 29 lagi IPU sederhana.

Keadaan dilapor diburukkan lagi dengan cuaca panas dan kering sekali gus menyebabkan pencemar udara terapung di udara.


Tiada ulasan: