KUALA LUMPUR: Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku Tahun Pertama
2016 Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menyenaraikan 111,333
permohonan pendaftaran pemilih baru dan pertukaran alamat pusat
mengundi, akan dipamerkan di 963 lokasi seluruh negara mulai esok
sehingga 4 Mei ini.
Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata senarai itu melibatkan
88,078 pendaftaran pemilih baru dan 23,255 permohonan untuk pertukaran
alamat pusat mengundi daripada pemilih sedia ada yang berdaftar dengan
SPR.
"Selaras dengan kehendak Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya
(Pandaftaran Pemilih) 2002, Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi
Suku Tahun 1/2016 akan dipamerkan selama 14 hari mulai 21 April 2016
hingga 4 Mei 2016 di 963 tempat pameran di seluruh negara," katanya
dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Beliau berkata sepanjang tempoh pameran berlangsung, pemohon yang
memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baru atau menukar alamat pusat
mengundi pada Januari, Februari dan Mac 2016 dinasihatkan menyemak RDPT
Suku Tahun 2016.
Menurutnya bagi pemohonan pendaftaran baru, jika pemohon mendapati
namanya tidak tersenarai di dalam RDPT itu, mereka boleh membuat
tuntutan dengan menggunakan Borang B dan diserahkan kepada Pendaftar
(Pangarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan
pada waktu pejabat.
Abdul Ghani berkata pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan
raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang
di dalam RDPT Suku Tahun 1/2016 di satu-satu bahagian pilihan raya
boleh berbuat demikian melalui Borang C.
Seorang pembantah hanya boleh membantah tidak melebihi 20 orang selaras
dengan subperaturan 15 (3) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya
(Pendaftaran Pemilih) 2002.
"Bantahan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar (Pengarah Pilihan Raya
Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada
mana-mana hari bekerja dalam tempoh pameran RDPT Suku Tahun 1/2016,"
katanya.
Beliau berkata semasa tempoh pameran RDPT, SPR juga mempamerkan
nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada Daftar Pemilih kerana
mereka didapati tidak berhak untuk terus kekal di dalam daftar pemilih
atas sebab tertentu antaranya telah meninggal dunia atau lucut hak
warganegara.
Sehubungan itu, SPR menyeru semua pemohon yang berdaftar dalam tempoh 1
Jan 2016 hingga 31 Mac 2016 supaya menyemak maklumat pendaftaran
pemilih di tempat-tempat yang dinyatakan.
Semakan boleh dibuat di Pejabat Pilihan Raya Negeri (15), Pejabat Pos
Berkomputer (441), Kompleks/Pejabat Kerajaan (85), Pejabat
Daerah/Pejabat Tanah (146), Majlis Daerah/Perbandaran (63), Dewan
Serbaguna/Rukun Tetangga/Balai Raya/Penghulu (195) dan 18 lagi lain-lain
tempat yang ditetapkan SPR di seluruh negara. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan