HALAMAN SANTAI

Selasa, 4 Oktober 2016

Badan bebas bagi persempadanan boleh kurangkan beban SPR - Wan Ahmad

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar menyokong cadangan sesetengah pihak yang mahu satu suruhanjaya berasingan ditubuhkan bagi melaksanakan persempadanan semula bahagian pilihan raya.
 
Menyifatkan cadangan tersebut satu idea yang baik dalam peningkatan sistem demokrasi, kata Wan Ahmad, cadangan tersebut juga akan melancarkan urusan berhubung pilihan raya kerana tiada 'longgokan' tugas terhadap satu badan sahaja.
 
"Perkara ini telah dibincangkan, Semasa saya dalam SPR pun dibincangkan, iaitu selepas Parlimen meluluskan cadangan-cadangan penambahbaikan proses demokrasi (semasa) di bawah kalau tak silap saya, Datuk Maximus Ongkili.
 
"Dan keputusan parlimen itu diserahkan kepada SPR, dan SPR pun meneliti segala setiap keputusan dan syor parlimen...ada mengenai daftar pemilih, persempadanan, kaedah proses pilihan raya dan banyak perkara itu dibuat kajian, masa zaman saya lah. 
 
"Dan saya masih ingat, saya dan pasukan lama dulu bersetuju bahawa telah sampai masanya negara kita ada suruhanjaya bebas berasingan," katanya dalam satu wawancara bersama Antarapos baru-baru ini.
 
Sebelum ini, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli bercadang untuk membentangkan rang undang-undang persendirian pada sesi Parlimen akan datang bagi memindahkan kuasa SPR kepada sebuah badan bebas untuk melaksanakan persempadanan semula.
 
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, ia akan melibatkan pindaan seksyen 8 Perlembagaan Persekutuan dan Artikel 113 yang melibatkan proses pilihan raya.
 
Langkah itu diambil selepas cadangan persempadanan semula oleh SPR menerima bantahan daripada pembangkang dan parti komponen BN. 
 
Penetapan sempadan bahagian pilihan raya pada ketika ini diperuntukkan kepada SPR sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan. 
 
Selain persempadanan semula, SPR juga berperanan menjalankan urusan pendaftaran pemilih dan daftar semakan pemilih, dan mengawal kelancaran pilihan raya seperti yang ditetapkan. 
 
Mengulas lanjut, bekas pegawai kanan yang berpengalaman 16 tahun dalam badan pengendali pilihan raya itu juga berkata, kebanyakan negara maju sudah mewujudkan sebuah badan berasingan khusus bagi melaksanakan urusan berkaitan persempadanan, contohnya United Kingdom dan Australia.
 
Malah katanya, cadangan ini tidak wajar dipolitikkan kerana ia bukan untuk kepentingan mana-mana pihak sebaliknya ia demi kebaikan negara dan sistem demokrasi itu sendiri.   
 
"Saya sebagai orang yang terlibat dalam urusan pilihan raya agak lama, saya melihat kebaikannya kepada negara dan kepada sistem politik demokrasi di negara kita. 
 
"Saya tak nampak kalau perkara ini dibawa ke parlimen menjadi isu yang besar sebab ia pernah dibincangkan dahulu," katanya lagi

Tiada ulasan: