MALAYSIAKINI
Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) yakin BN bakal tumbang di Kedah pada
pilihan raya akan datang berikutan sentimen rakyat di negeri itu selepas
Datuk Seri Mukhriz Mahathir dipaksa melepaskan jawatannya sebagai
menteri besar.
Ini kerana, menurut presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri
besar baru, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah tidak diterima baik oleh
rakyat negeri Kedah.
"Selepas
Mukhriz disingkirkan... mungkin sudah cukup matang untuk BN tumbang,
sebab saya tengok sentimen rakyat Kedah selepas peristiwa itu berlaku ia
amat tidak baik bagi BN, penerimaan mereka kepada MB baru (maaf cakap)
tidak sehebat Mukhriz," katanya yang dipetik Sinar Harian hari ini.
Bekas timbalan perdana menteri yang dipecat oleh Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Razak itu juga dilaporkan berkata beliau telah memberi
nasihatnya tetapi tidak diendahkan.
"Sebelum Najib pecat Mukhriz saya hantar mesej kepada beliau saya
beritahu 'amaran baik' jangan buat begitu...itu permulaan kepada
kejatuhan BN, tapi yang pasti mereka tidak endahkan, jadi perkiraan saya
BN di Kedah sudah cukup ranum dan cukup matang untuk terjatuh,"
katanya.
Mukhriz dipecat daripada Umno pada Jun lalu, dan disingkirkan sebagai
menteri besar Kedah meskipun di sebalik kejayaannya merampas negeri
jelapang padi itu daripada PAS pada tahun 2013.
Ketika itu, BN berjaya mendapatkan 21 kerusi berbanding 15 yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat.
Tahap kesihatan Ahmad Bashah sentiasa menjadi persoalan apabila
beliau dilaporkan pitam ketika menghadiri mesyuarat pada 4 Jun lalu dan
sering mendapat rawatan susulan.
Bagi
ramai pemerhati politik, Mukhriz adalah mangsa akibat perang mulut
antara bapanya, dan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Najib.
Namun Umno Kedah
mendakwa Mukhriz gagal menyatupadukan parti dan tidak mempunyai strategi
membangunkan negeri itu.
Mahathir, yang pada satu masa menyokong Najib, kini telah menjadi
pengkritiknya paling sengit, terutama selepas dakwaan penglibatan Najib
dalam skandal 1MDB dan sumbangan RM2.6 bilion daripada keluarga diraja
Arab Saudi yang dimasukkan ke akaun bank peribadinya sebelum PRU13.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan