HALAMAN SANTAI

Isnin, 3 Oktober 2016

Dana Politik : UMNO Kelantan sokong cadangan

THE MALAYSIAN TIMES


datuk-seri-mustapa-mohamed


KOTA BHARU :  UMNO Kelantan menyokong penuh 32 cadangan dikemukakan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP), termasuk memperkenal Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik untuk penambahbaikan soal integriti dan pembiayaan politik.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata perkara berkenaan adalah selari dengan amalan di beberapa negara yang turut mengamalkan sistem demokrasi.

“Ini satu perkara penting supaya kita lebih telus sekali gus akan mengelak tuduhan-tuduhan tidak berasas. Sekarang tidak ada peraturan (khusus berhubung pembiayaan politik) jadi kalau tiada peraturan apa sahaja boleh dilakukan.

“Badan Perhubungan UMNO Kelantan mengalu-alukan langkah ini demi kebaikan negara dan dengan itu kita harap kempen politik akan berjalan dengan lebih sihat
lagi (selepas ini),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Menerokai Pasaran Antarabangsa bersempena Pameran Perdagangan Sempadan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Datuk Dzulkifli Mahmud. Jumaat lepas, JKNMPP menggariskan 32 cadangan termasuk memperkenal Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik untuk penambahbaikan soal integriti dan pembiayaan politik.

Pengerusinya Datuk Paul Low Seng Kuan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata cadangan tersebut dibahagikan kepada tiga kategori iaitu proses pelaksanaan, keperluan satu undang-undang yang baharu dan kandungannya, serta isu-isu lebih luas dan bersifat jangka panjang. 

Mengulas isu tersebut, anggota Jawatankuasa Kerja Pusat MIC Datuk Seri S.Vell Paari berkata persetujuan untuk mengawal selia sumbangan dan pembiayaan politik itu menunjukkan ketelusan dan keterbukaan kerajaan yang dipimpin Barisan Nasional (BN).

Beliau, bagaimanapun menyifatkan pihak pembangkang bersikap hipokrit  berdasarkan kepada kenyataan Naib Presiden PKR Tian Chua dan Setiausaha Agung parti itu, Rafizi Ramli, yang menolak cadangan tersebut.

“Ini menunjukkan pembangkang hanya mahu peraturan yang berasingan mengenai pembiayaan politik.

“Bagi BN dan Perdana Menteri, kita perlu mengisytiharkan semua sumber sumbangan dan pembiayaan politik kita, tetapi mereka (pembangkang) hanya berdiam diri,” katanya. — BERNAMA

Tiada ulasan: