HALAMAN SANTAI

Jumaat, 7 Oktober 2016

Dibebaskan dengan amaran

MALAYSIA GAZETE




Sembilan lelaki Australia diberi amaran dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mereka mengaku bersalah serta memohon maaf kerana melucutkan pakaian hingga sekadar memakai seluar renang dengan gambar Jalur Gemilang di Litar Antarabangsa Sepang di sini Ahad lepas.

Kesemua lelaki berusia 25 hingga 29 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana melucutkan pakaian hingga sekadar memakai seluar renang dengan gambar Jalur Gemilang yang membangkitkan kemarahan orang ramai di sekitar Litar Antarabangsa Sepang.

Seorang daripada tertuduh ialah pegawai dari Kementerian Pertahanan Australia Jack Robert Walker, 26.
Tertuduh lain ialah pengamal perubatan Dr Adam Patrick Pasfield, 26; pengurus akaun Brandon Stob, 26; pengurus Edward Timothy Leany, 25, dan jurutera Thomas Craig Laslett, 28.

Turut didakwa di mahkamah hari ini ialah ketua pegawai operasi Thomas James Withworth, 28; pelajar Timothy William Fiashi Yakes, 29; pemaju hartanah James Daniel Pave, 27, pekerja sendiri Nicholas William Daymond Kelly, 27.

Kesemua tertuduh diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad.

Semasa dihadapkan di mahkamah, warga Australia itu memakai pakaian yang sesuai seperti kemeja lengan panjang, jaket dan seluar panjang. Mereka kelihatan tenang semasa mengaku bersalah selepas jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan dalam bahasa Inggeris.

Pertuduhan itu memperuntukkan denda sehingga RM400.

Ketika membacakan hukuman, Hakim Harith Sham Mohamed Yasin berkata perbuatan melucutkan pakaian sehingga hanya tinggal seluar renang bertemakan Jalur Gemilang di khalayak ramai seperti yang dilaporkan dengan meluas oleh media adalah kurang wajar dan menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia.

"Seluar renang yang mengandungi elemen bendera Malaysia mewakili kedaulatan negara dan agama rasmi Malaysia.

"Saya juga berharap insiden seperti ini memberi peringatan kepada mereka yang mengunjungi negara ini supaya menghormati adat dan budaya setempat," katanya.

Harith Sham berkata beliau membuat keputusan itu dengan mengambil kira umur, kurang kesedaran tentang adat rakyat Malaysia, perilaku yang penuh kekesalan dan mereka ditahan reman selama empat hari sejak Ahad lepas.

Muhammad Shafee, ketika memohon hukuman diringankan, meminta mahkamah merujuk Seksyen 173A Kanun Tatacara Jenayah berhubung kuasa untuk melepaskan tertuduh dengan mengambil kira umur mereka dan menjadi budaya di Australia untuk memakai bikini, seluar renang, malah selipar yang dihiasi gambar bendera Australia.

Ketika memohon hukuman diringankan, Withworth mewakili kesemua sembilan tertuduh membacakan di mahkamah surat permohonan maaf yang ditujukan kepada rakyat Malaysia.

"Kami amat kesal dengan tindakan kami pada hari itu. Kami tidak menyangka bahawa perbuatan kami akan dianggap sebagai kurang wajar, bodoh atau malah dianggap sebagai menyakitkan hati rakyat di negara ini.

"Ketahuilah bahawa kami tidak sekali-kali berniat untuk meremeh atau menjatuhkan martabat Jalur Gemilang negara ini atau rakyatnya.

"Fahamilah bahawa perbuatan kami itu semata-mata disebabkan kami terlepas pandang yang berpunca daripada kurangnya pengetahuan kami tentang budaya dan sensitiviti rakyat Malaysia," katanya.

Sejurus selepas membacakan surat permohonan maaf itu, Withworth rebah di kandang tertuduh dan diberi minum air, garinya dibuka dan dibenarkan duduk sehingga prosiding mahkamah selesai.

Antara barang kes yang dikemukakan di mahkamah hari ini adalah salinan laporan polis yang dibuat berkaitan tingkah laku mereka, gambar sembilan tertuduh yang memakai seluar renang Jalur Gemilang dan sembilan helai seluar renang yang dibawa ke mahkamah dalam sembilan sampul berwarna perang dan disusun di atas meja.-- BERNAMA


Tiada ulasan: