Oleh Nur Atiqah Abd Samad, Azizul Osman & Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
KUALA LUMPUR: PAS yakin usul Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa
Jenayah) 1965 (Akta 355) tetap dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini
meskipun kedudukan usul dalam kertas perintah aturan urusan mesyuarat
berubah-ubah.
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan memberikan reaksinya
terhadap usul itu telah ditolak ke bawah dalam kertas perintah pada hari
kedua sesi ketiga dan terakhir Parlimen tahun ini.
"Kita ada 25 hari lagi, kita tak bimbang. Usul ini sudah dibahaskan
sebahagiannya. Jika tak semoat pada kali ini, (sesi parlimen) akan
datang.
"Urusan kerajaan akan diutamakan (tetapi) optimis ia akan dibentangkan
pada sesi parlimen kali ini," katanya ketika ditemui di Lobi Dewan
Rakyat, pagi tadi.
Usul Rang Undang-undang (RUU) Persendirian Akta 355 yang dijangka
dibentang Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah ditolak ke
bawah dalam kertas perintah pada hari kedua sesi ketiga dan terakhir
Parlimen tahun ini.
Usul Hadi membentangkan rang undang-undang persendirian bagi meminda
Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah), telah diturunkan daripada
senarai nombor 4 semalam kepada nombor 7 hari ini.
Ia diturunkan apabila lebih banyak usul kerajaan dimasukkan dalam
senarai, yang mana urusan kerajaan akan didahulukan berbanding usul
persendirian.
Malah ada kemungkinan usul tersebut tidak dapat dibahas kerana bermula
minggu depan, debat parlimen akan memberi tumpuan kepada Bajet 2017 yang
akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Jumaat
ini.
Sementara itu, mengulas isu yang sama, Naib Presiden PAS Datuk Iskandar
Abdul Samad pula berkata, usul ini bukan saja membawa kepentingan PAS
semata-mata tetapi mewakili harapan umat Islam di negara ini.
"Benda ini (Akta 355) bukannya datang daripada PAS, ini harapan umat
Islam yang mahu melihat bahawa akta ini diluluskan dan mahu melihat
Mahkamah Syariah diperkasakan seperti mana sebelum ini pada 1984 kali
terakhir diperkasakan, ketika itu tidak ada masalah.
"Kenapa sekarang ianya menjadi masalah, saya berharap supaya ianya
dapat diluluskan pada sidang ini sebab ia bukan harapan PAS sahaja, tapi
harapan umat Islam keseluruhannya," katanya kepada Antarapos.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan