HALAMAN SANTAI

Ahad, 2 Oktober 2016

Pembangkang sifatkan akta dana politik hanya untungkan BN

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pembangkang tetap bertegas tidak mahu menerima cadangan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) untuk menggubal Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik. 
 
Naib Presiden DAP Dr. Tan Seng Giaw berkata, cadangan tersebut hanya akan memberi keuntungan kepada parti pemerintah sahaja. 
 
“Cadangan JKNMPP itu menimbulkan kontroversi kerana ia tidak jelas. Syarat-syarat yang adil dan munasabah perlu diperlihatkan untuk semua ahli politik, sama ada pembangkang mahu pun BN,” katanya dipetik Mingguan Malaysia hari ini.
 
Terdahulu Pengerusi JKNMPP Datuk Paul Low Seng Kuan, mencadangkan satu akta baru, Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik digubal bagi mena­ngani isu berkaitan politik wang yang telah lama wujud.
 
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengumumkan, draf akta itu turut merangkumi 32 cadangan yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu proses pelaksanaan, keperluan undang-undang baharu dan jangkaan pelbagai isu berbangkit dalam jangka panjang.
 
Sementara itu, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata sepatutnya sebelum ia diusulkan, kerajaan perlu memanggil kesemua pemimpin parti politik terlebih dahulu bagi membincangkan mengenai akta tersebut. 
 
“Sepatutnya, beliau perlu memanggil kami semua supaya boleh membincangkan kaedah dan mekanisme terbaik mengenai akta itu,” katanya.
 
Manakala PKR pula pula tidak bersetuju dengan cadangan tersebut kerana ia tidak mempunyai kaedah semak dan imbang yang berkesan dalam usaha menyekat rasuah politik.
 
Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata hanya akan menerima cadangan JKNMPP itu sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersedia untuk mewajibkan semua ahli politik yang akan bertanding dalam pilihan raya mengisytiharkan harta secara terperinci dengan menguatkuasakan lima langkah. 
 
"Antara langkah tersebut adalah pengisytiharan harta secara terperinci melibatkan pengisytihar, isteri dan setiap anak dengan memperincikan pendapatan bulanan daripada semua sumber, perbelanjaan bulanan bagi semua tanggungan dan aktiviti.
 
“Jika Datuk Seri Najib bersetuju dengan langkah-langkah itu, saya akan menjadi orang pertama yang menyokong sebahagian besar cadangan-cadangan yang dikemukakan JKNMPP itu,” kata Rafizi.
 
 

Tiada ulasan: