HALAMAN SANTAI

Jumaat, 7 Oktober 2016

Pembantu Rosmah: Terima kasih datang, tapi DAP tak jujur

MALAYSIAKINI


Pembantu kepada penaung Program Permata Negara Rosmah Mansor mengucapkan terima kasih terhadap wakil rakyat DAP yang sudi melawat pusat penjagaan kanak-kanak itu.

Bagaimanapun, kata Rizal Mansor, laporan media berkaitan pertemuan di ibu negara itu semalam tidak jujur.

“Berikut lawatan itu, kami berbesar hati apabila kesimpulan dibuat pemimpin DAP, program PERMATA memberi manfaat kepada masyarakat.

“Tetapi, laporan Roketkini semalam tidak jujur,” kata Rizal.

Selepas pertemuan itu, Roketkini melaporkan masih wujud kekaburan mengenai PERMATA.

Memetik anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damansara Utama Yeo Bee Yin, akhbar web itu melaporkan hasrat wakil DAP untuk meneliti akaun PERMATA yang sudah diaudit terperinci belum kesampaian.

Ini kerana PERMATA dikatakan hanya boleh memberi laporan itu selepas DAP menulis surat kepada Ketua Audit Negara.

Menjawab perkara itu, Rizal berkata, sesi oleh pihak pengurusan PERMATA itu semalam hanya untuk menerangkan program dan kejayaan dicapai.

Juga dibentang ialah perbelanjaan program termasuk jumlah perbelanjaan dan bagaimana ia diagihkan.
“Sesi semalam bukan satu sesi pengauditan akaun,” jelasnya dalam kenyataan di Facebook.

Menurut Rizal lagi, sebagai agensi persekutuan, akaun PERMATA diteliti penuh oleh Jabatan Audit Negara yang juga dimasukkan kepada Laporan ketua Audit Negara setiap tahun.

“Untuk makluman Roketkini, PERMATA tidak mengaudit dirinya sendiri,” katanya.

Sebelum ini, Yeo diundang oleh Rizal melawat PERMATA selepas melahirkan hasrat itu bagi mendapat gambaran penuh berkaitan programnya.

Undangan itu dibuat selepas dengan tidak disangka-sangka, PERMATA mendapat pembelaan Yeo.

Yeo berkata statistik membuktikan pelaburan kerajaan dalam penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak (ECCE) memberi manfaaat kepada pembayar cukai.

Tiada ulasan: