DAP menentang sekeras-kerasnya cadangan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dianggap sebagai konspirasi bersama Umno.
Pemangku Pengerusi DAP Kebangsaan, Tan Kok Wai berkata, dakwaan Umno kononnya mereka juga tidak berpuas hati dengan syor tersebut adalah satu penipuan.
"Persempadanan semula ini satu konspirasi Umno-SPR. Wilayah Persekutuan menyaksikan kawasan-kawasan Umno diperkukuh dengan memindahkan zon-zon atau lokaliti pengundi yang tidak memihak kepada Umno pada PRU (Pilihan Raya Umum) lepas.
"Kawasan-kawasan yang merupakan kubu kuat PKR misalnya dikeluarkan masuk dalam (kawasan) DAP.
"Ini masalah besar kerana keputusan pilihan raya menentukan masa depan negara dan kesejahteraan rakyat," tegasnya yang juga Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan.
Sehubungan itu, beliau dalam ucapannya sempena Ceramah Kemuncak Setahun Amanah anjuran Wilayah Persekutuan malam ini menggesa supaya pihak SPR bertanggungjwab dengan persempadanan yang tidak adil.
"Persempadanan semula adalah tidak seimbang dan mesti ditolak. Saya seru Pengerusi SPR letak jawatan atas kesalahannya yang besar ini," tambahnya lagi ketika berucap di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru di ibu negara.
Untuk rekod, Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah pernah menjadi Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Annuar Musa yang kini merupakan Ketua Penerangan Umno.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan