Oleh Azizul Osman
SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) dijangka membuat ketetapan hari ini,
bersabit pendirian berhubung pindaan Rang Undang-Undang Pindaan Akta
Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) yang dibawa
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali, berkata pendirian itu akan
diumumkan sendiri oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail.
Menurutnya, keputusan itu dicapai selepas mengadakan perbincangan bersama kepimpinan PKR dan parti komponen dalam PH.
"Kita telah bincang panjang didalam PKR dan juga dalam Pakatan Harapan,
pada petang ini Presiden PKR Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan
mengeluarkan kenyataan rasmi tentang pendirian yang akan diambil oleh
Ahli-ahli Parlimen PKR dalam perbahasan (Akta 355) yang akan datang,"
katanya dalam sidang media di Bangunan SUK hari ini.
PH sebelum ini mengadakan mesyuarat bagi membincangkan langkah Hadi
yang akan membentangkan rang undang-undang persendiriannya yang
mencadangkan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) dipinda.
Rang undang-undang untuk memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah
itu sebelum ini ditentang hebat oleh parti bukan Islam antaranya DAP,
MCA, Gerakan, MIC, dan parti-parti komponen BN Sarawak.
Sementara PKR dan Amanah masih belum mengumumkan pendirian mereka
terhadap pindaan yang akan dibuat di Dewan Rakyat tidak lama lagi.
Bagaimanapun peluang untuk Hadi membentangkan pindaan berkenaan pada
sesi sidang kali ini semakin kabur apabila usul berkenaan telah
diturunkan daripada senarai nombor 4 semalam kepada nombor 7 bagi
memberi laluan kepada usul kerajaan.
Malah terdapat kemungkinan usul tersebut tidak dapat dibahas apabila
pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
mengambil tempat Jumaat ini.
Kebiasaannya, sejurus selepas pembentangan bajet, ahli-ahli Parlimen akan berbahas mengenai perkara itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan