shahbudindotcom
Ramai
di antara kita yang tiba-tiba marah dan mendidih darah dengan tangkapan
rasuah di Sabah baru-baru ini yang bukan saja sekali lagi melibatkan
pegawai kerajaan serta wang rakyat, tetapi juga kerana jumlah wang yang
dirampas begitu mega jumlahnya.
Wang
tunai yang dirampas dilaporkan berjumlah RM52 juta yang disimpan dalam
almari di rumah dan juga di pejabat. Untuk mengiranya saja, pegawai
SPRM seramai 30 orang mengambil masa selama 15 jam untuk berbuat
demikian.
Dalam
beberapa akaun bank, jumlah wang tunai yang dirampas pula diberitakan
berjumlah lebih RM60 juta. Jumlah wang yang dapat dirampas sehingga ini
ialah RM112 juta.
Turut dirampas ialah puluhan kereta mewah, barang kemas, geran tanah, beg tangan berjenama dan lain-lain lagi.
Diberitakan
juga ada enam peti simpanan bank yang turut disita, tetapi cuma satu
yang sudah diketahui isinya, manakala lima lagi masih menunggu beberapa
prosedur dengan pihak bank yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
Bermakna,
kalau dicampurkan - wang tunai, kereta mewah, barang kemas, geran
tanah, beg tangan berjenama dan lima peti simpanan yang belum dibuka,
jumlah keseluruhannya mungkin mencecah melebihi RM300 juta.
Jika
sebelum ini kita cukup terkejut dan marah dengan dua tiga tangkapan
oleh SPRM yang turut menemui beberapa juta wang tunai, kereta mahal dan
puluhan kondo mewah melalui aktiviti rasuah, dengan antaranya bergelar
Tan Sri, Datuk Seri dan Datuk, tangkapan di Sabah ini tentu saja lebih
memeranjatkan kita.
Kadang-kadang
terfikir elok juga kiranya hukuman tembak sampai mati di tempat awam
dikuatkuasakan kepada mereka yang durjana serta khianat ini.
Kenapa rasuah nampaknya begitu berleluasa di negara kita?
Kenapa pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan ketua-ketua syarikat GLC seolah-olah tidak gentar untuk melakukan rasuah?
Bagaimana
pula dengan rasuah di kalangan orang-orang politik yang mengetuai
kementerian, kerajaan negeri atau syarikat-syarikat GLC serta
balaci-balacinya sedangkan di situlah berpusatnya segala kuasa melulus
dan memberi?
Apakah
mereka itu suci bersih dan tidak gelap mata dengan wang ringgit,
manakala hanya pegawai-pegawai kerajaan belaka yang tamak dan haloba?
Atau
mungkinkah berleluasanya amalan rasuah di kalangan pegawai kerajaan ini
kerana mereka akur dengan kata pepatah "bapa borek anak rintik"?
Memang
kita menghargai tangkapan demi tangkapan berkaitan rasuah melibatkan
pegawai kerajaan yang dilakukan SPRM sejak kebelakangan ini. Tetapi ia
sebenarnya tidak menyelesaikan isu pokok berkaitan rasuah, jauh sekali
mampu memulihkan imej kerajaan.
Jika
kita lihat, beberapa tangkapan itu bukanlah melibatkan pegawai paling
tinggi. Masih ada di atas mereka yang ditangkap itu pegawai yang lebih
tinggi atau pemimpin politik yang seharusnya mengawasi atau memantau
sekiranya berlaku perbuatan curang atau durjana yang berleluasa.
Yang
ditangkap di DBKL misalnya hanyalah salah seorang pengarah yang
diatasnya masih ada ketua pengarah, datuk bandar dan juga menteri.
Apakah mereka tidak sedar amalan rasuah itu?
Begitu
juga dalam kes Jabatan Air Sabah ini, apakah menteri peringkat negeri
yang bertanggungjawab terhadap jabatan itu atau Ketua Menteri Sabah
langsung tidak sedar wujudnya penyelewengan projek dalam nilai berjumlah
RM3.3 bilion sejak 2010 lagi?
Maka,
apabila tangkapan demi tangkapan dilakukan, meskipun kita amat
menghargai tindakan SPRM, apakah ia mampu membersihkan imej kerajaan di
mata umum atau menimbulkan lebih banyak tafsiran bahawa pegawai kerajaan
berani melakukannya kerana mereka juga tahu orang politik yang lebih
berkuasa daripada mereka, turut sama melakukannya?
Beranikah
pegawai-pegawai kerajaan melakukan rasuah secara berleluasa jika
pimpinan politik yang berada di atas mereka sentiasa menunjukkan
teladan yang baik dan benar-benar tidak bertolak ansur terhadap amalan
itu?
Maka,
siapa sebenarnya yang harus malu dengan tangkapan demi tangkapan ini
dan bilakah SPRM mahu menyiasat pemimpin-pemimpin politik yang
rata-ratanya juga kaya-raya, memilik banyak harta serta mungkin ada di
antaranya turut memiliki simpanan tunai di rumah atau di pejabat?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan