Amanah Negeri Perak mendesak Ahli Parlimen Parit Datuk Zaim Abu Hassan nyatakan tujuan sebenar beliau mengumumkan projek pembinaan Hospital Seri Iskandar (HSI) sudah dimulakan sejak Februari lalu, sedangkan kerajaan negeri masih lagi diperingkat reka bentuk yang dijangka siap pada Mei lalu.
Penyelaras Amanah Parit Tarmizi Mohd Jam berkata, Amanah dan penduduk Parlimen Parit berasa tertipu dan kecewa dengan sikap berdolak dalik pemimpin Umno dan BN untuk menunaikan janji mengenai Projek Pembinaan Hospital Seri Iskandar yang diuar-uarkan sejak PRU12 dan dicanang lagi pada PRU13 yang lalu.
Beliau merujuk kepada kenyataan Menteri Besar Datuk Seri Zamry Abdul Kadir yang mendesak Kerajaan Persekutuan menyegerakan pembinaan Hospital Daerah Perak Tengah di Seri Iskandar yang merupakan salah satu janji dalam Manifesto Pilihan Raya Umum ke 13 lalu.
"Ini sangat berbeza dengan pengumuman Datuk Zaim seperti yang dilaporkan media, yang bercakap dengan yakin upacara pecah tanah dan pembinaan hospital pasti dibuat pada Februari 2017, sedangkan Zambry memberitahu Hospital Seri Iskandar kini di peringkat reka bentuk yang dijangka siap pada Mei tahun ini.
"Dalam kenyataan Zambry kepada pemberita selepas merasmikan Program Mini Karnival Teras Keselamatan di SMK Layang-Layang Kiri, Parit pada Rabu, 8 Mac 2017 itu juga memaklumkan, beliau telah berbincang dengan Bahagian Kesihatan JKR dan Kementerian Kesihatan akan membuka tender untuk pembinaan hospital tersebut.
"Sedangkan dalam laporan akhbar Sinar Harian bertarikh 7 September 2016, Datuk Zaim memberitahu, majlis pecah tanah dan pembinaan hospital bakal dimulakan Februari 2017 dan kontraktor juga sudah dilantik. Beliau bercakap perkara ini pada Program Sehari Bersama Warga Emas anjuran Klinik Kesihatan Bota Kiri bersama Panel Penasihat Klinik Kesihatan Bota Kiri di Akademi Latihan Kemas," terangnya.
Tarmizi yang juga Timbalan Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan berkata, oleh kerana kenyataan dolak dalik pemimpin Umno-BN itu Amanah dan penduduk dalam Parlimen Parit menjadi keliru dengan dua kenyataan bercanggah antara MB Perak dan Ahli Parlimen Parit.
Projek Pembinaan Hospital Seri Iskandar ini yang telah dilulus di atas tanah seluas 12.1 hektar di bekas tapak Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Seri Iskandar yang menelan kos RM150 juta dan bakal memuatkan 150 katil.
Namun, sehingga hari ini ujarnya lagi, bayang hospital baharu itu langsung tidak kelihatan, baik rataan tapak projek apatah lagi rangka bangunan.
"Walaupun Datuk Zaim yakin dalam kenyataannya projek ini dijangka siap dalam tempoh dua tahun.
"Jadi apa asas Datuk Zaim mengumumkan kepada orang ramai bahawa pembinaan Hospital Seri Iskandar akan dimulakan pada Februari 2017, peruntukan RM150 juta sudah diluluskan, dan kontraktor telah dilantik jika pada 8 Mac 2017 lalu, MB Perak memberitahu Hospital Seri Iskandar kini di peringkat reka bentuk yang dijangka siap pada Mei tahun ini.
"Amanah Parlimen Parit mendesak Datuk Zaim memberikan penjelasan mengapa pembinaan hospital ini yang sepatutnya dimulakan pada Februari 2017, kini berlarutan kepada satu tarikh yang tidak diketahui. Dan apa yang terjadi kepada peruntukan RM150 juta itu serta bagaimana nasib kontraktor yang dikatakan telah dilantik terdahulu, seperti yang diumumkan beliau," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan