HALAMAN SANTAI

Jumaat, 2 Jun 2017

Kanak-kanak etnik Rohingya dijual untuk mengemis

MALAYSIAKINI


Polis berjaya membongkar satu sindiket penjualan kanak-kanak etnik Rohingya dengan harga RM1,200 hingga RM1,500 untuk tujuan mengemis selepas menyelamatkan sembilan kanak-kanak dan dua remaja yang dkurung di sebuah premis di Jalan Hang Kasturi di ibunegara semalam.

Dalam operasi bermula 11 pagi itu, tujuh kanak-kanak lelaki dan dua perempuan serta dua remaja lelaki, kesemua berusia 10 hingga 20 tahun diselamatkan oleh sepasukan polis dari Cawangan Kongsi Gelap Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Supt Habibi Majinji berkata dalam operasi itu, enam individu warga Myanmar terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita berusia 25 hingga 30 tahun dipercayai dalang utama sindiket itu telah ditahan.

"Polis turut merampas lima buah buku catatan aktiviti penjualan kanak-kanak, enam buah telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM12,400 dipercayai hasil jualan," katanya dalam sidang media di IPD Dang Wangi hari ini.

Beliau berkata berdasarkan semakan ke atas buku catatan itu, seramai enam individu telah dijual oleh sindiket ini.

"Suspek mengambil mangsa di kawasan di utara tanah air dan membawanya ke ibu kota sebelum mengurung mangsa.

"Sekiranya ada permintaan mangsa akan dijual mengikut harga tertentu," katanya.

Menurut Habibi, kumpulan ini aktif menjalankan aktiviti penjualan kanak-kanak dengan harga antara RM1,200 hingga RM1,500 kepada individu tertentu dipercayai bagi menjalankan kegiatan meminta sedekah.

"Kami masih menyiasat siapa individu yang membeli mereka ini," katanya.

Habibi berkata kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Anti-pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.- Bernama



Tiada ulasan: