HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 Jun 2017

'Lembah Pantai macam ada 2 wakil rakyat'

Zulaikha Zulkifli 

WAWANCARA Walaupun tidak pernah menjadi wakil rakyat, namun Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin sentiasa merasakan seperti seorang anggota parlimen.

Bekas menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, rakyat di Lembah Pantai tidak putus-putus meminta bantuan daripadanya.

Anggota parlimen kawasan itu Nurul Izzah Anwar pula, dakwanya, lebih mementingkan 'isu luar'.

"Mereka (masyarakat) macam menganggap (Nurul Izzah) wakil rakyat untuk luar (kawasan). Macam di Lembah Pantai ini ada dua wakil rakyat.

"Satu wakil rakyat untuk berikan servis antarabangsa, macam menteri luar. Satu lagi bila bab tempatan, mereka akan rujuk pada Umno dan BN termasuk isu-isu melibatkan bantuan dan sebagainya.

“Mana yang kita mampu kita akan bantu," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini awal minggu ini.

Nong Chik kalah kepada Nurul Izzah dengan majoriti undi 1,847 dalam pilihan raya umum 2013.

Beliau mendapat 29,161 daripada keseluruhan 72,396 orang pemilih. Nurul Izzah pula mendapat 31,008 undi.

Nong Chik dicalonkan menggantikan Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil (gambar) yang kalah mengejut di tangan Nurul Izzah, anak sulung tokoh pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 2008.

Sementara itu, diminta menilai prestasi anggota Nurul Izzah yang telah dua penggal menjadi wakil rakyat di situ, Nong Chik mengaku kurang senang dengan kaedah naib presiden PKR itu.

"Orang mungkin akan kata saya berat sebelah. Saya rasa lebih baik tanya kepada pengundi-pengundi di sini. Pada saya, cara dia hanya touch and go.

"Dia datang, ambil gambar dan tularkan di Facebook. Apa yang dia buat?

"Tapi banyak apa yang dia ditularkan, kita yang usahakan kerana sesetengah isu tidak boleh diselesaikan dalam masa satu hari,” katanya.



Beliau memberikan contoh isu kebakaran di kawasan Kerinchi yang memerlukan penelitian pelbagai aspek dan tidak dapat selesai dalam sehari sahaja.

Tanding lagi?

Ditanya sama ada bantuannya bertujuan memenangi kembali hati pengundi, Nong Chik yang juga anggota majlis tertinggi Umno menafikannya.

Bagi seseorang yang telah berkecimpung dalam politik sejak tahun 1980-an, Nong Chik berkata, sikap suka membantu rakyat sudah menjadi sebahagian daripada darah dagingnya.

"Memang karakter saya sendiri suka turun jumpa orang. Saya seronok buat benda ini. Bukan semata-mata pilihan raya.

“Saya dah buat ini sebelum saya jadi menteri, selepas kalah dalam pilihan raya. Kerana saya seronok buat benda ini.

"Sebab saya seronok untuk bantu rakyat. Ia sesuatu yang saya seronok buat. Bila orang tanya apa yang saya seronok sangat dalam politik, inilah yang saya seronok.

"Bukan berinteraksi dalam Umno berebut dalam jawatan, itu saya tak berapa seronok nak buat," jelasnya.



Diasak soalan sama ada akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13, Nong Chik hanya ketawa dan berkata perkara itu beliau serahkan kepada pucuk pimpinan parti.

Tawar bantu 34 orang di Kerinchi

Sementara itu, Nong Chik juga menawarkan bantuan kepada 34 orang penduduk yang tidak mendapat kediaman di Residensi Kerinchi setelah projek pembangunan semula flat empat tingkat di Kampung Kerinchi.

"Ada juga beberapa orang daripada mereka datang berjumpa saya untuk meminta bantuan. Tetapi saya kalau boleh nak bantu mereka secara kumpulan.

"Kalau dapat kumpulkan semua sekali 34 keluarga, kita akan cuba untuk dapatkan mereka rumah DBKL, tetapi bukan di Kerinchi.

“Saya nak cuba usahakan. Saya masih lagi nak membantu mereka sebab kesian kat mereka. Kalau boleh nak bantu mereka secara kumpulan," ujarnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Februari lalu berkata kumpulan kecil itu gagal mendapat rumah ganti dianggarkan bernilai RM500,000 setelah termakan “hasutan” pembangkang dan membawa kes itu ke mahkamah.

Seramai 408 lagi penduduk yang lain bagaimanapun mendapat sebuah unit pangsapuri baru dengan tiga bilik tidur serta dua bilik air yang berkelulusan 90 kaki persegi.

LIHAT VIDEO DI SINI


Tiada ulasan: