SHAH ALAM – Seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang
Utara digantung kerja kerana kecuaiannya menyebabkan seorang suspek kes samun
dan rogol meloloskan diri daripada tahanan Isnin lepas, kata Ketua Polis
Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat.
Beliau
berkata, walaupun terdapat beberapa kelemahan pada reka bentuk bangunan
IPD berkenaan yang hanya bertapak di lot rumah kedai dua tingkat, namun
kecuaian ketara anggota polis berkenaan lebih membuka peluang kepada suspek
untuk melarikan diri.
Menurut
Abdul Samah, pihaknya membuka dua kertas siasatan iaitu terhadap tahanan lelaki
terbabit dan juga anggota polis berkenaan bagi mendapatkan punca utama kes itu
boleh berlaku.
“Siasatan
awal mendapati wujud aspek cuai anggota terlibat dan ia adalah kecuaian yang
sangat-sangat jelas menyebabkan suspek ada ruang, peluang dan masa untuk lari
dari tandas ketika itu.
“Ada
dua aspek kecuaian nyata yang disiasat iaitu oleh anggota atau pegawai yang
diberi tanggungjawab menjaga tahanan dan juga dari sudut infrastruktur, namun
hal bangunan ini sedang kita atasi,” katanya kepada pemberita di sini, hari
ini.
Beliau
berkata, dalam kejadian itu, suspek dipercayai warga asing yang ditahan atas
kesalahan samun dan rogol meloloskan diri melalui tingkap tandas di IPD Klang
Utara apabila berpura-pura mahu membuang air kecil.
Semasa
insiden berkenaan, suspek masih dalam tempoh reman selama tujuh hari sehingga
semalam.
Bagaimanapun
katanya, suspek yang melarikan diri hingga ke Kampung Baru Hicom, Seksyen 26 di
sini diberkas kembali awal pagi semalam apabila cubaannya untuk mencabul
seorang gadis 14 tahun setelah memecah masuk rumah pelajar itu disedari
keluarganya.
“Akibat
terkejut melihat suspek berada di dalam rumahnya, gadis terbabit yang bangun
untuk bersahur menjerit menyebabkan dua abangnya tersedar dan terus mengejar
suspek serta menghubungi polis menyebabkan dia berjaya ditangkap semula,”
katanya.
Beliau
berkata suspek lelaki berumur 27 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 354, 448
dan 353 Kanun Keseksaan selain Seksyen 223/224 kanun yang sama kerana melarikan
diri daripada tahanan polis.
Terdahulu,
Abdul Samah menyaksikan upacara serah terima tugas Ketua Jabatan Pengurusan
Polis Selangor yang baharu iaitu SAC Sulaiman Salleh yang menggantikan SAC Che’
Man Md Dros, yang bersara wajib.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan