HALAMAN SANTAI

Ahad, 24 September 2017

‘Kalau AMANAH menang, itu kemenangan PKR, DAP dan Bersatu’ ’


‘Kalau AMANAH menang, itu kemenangan PKR, DAP dan Bersatu’



Pakatan Harapan (PH) harus mempunyai kesatuan yang mantap bagi melaksanakan ‘PH lawan BN’ pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution berkata, sama ada PKR, DAP, AMANAH atau Bersatu yang bertanding di sesuatu kawasan, semua parti harus bekerja kuat untuk memenangkan calon PH.

“Apabila kita bertanding, kalau satu kawasan itu ditandingi oleh AMANAH, DAP, Bersatu dan PKR akan bekerja kuat seoalh-olah calon AMANAH itu adalah calon PKR, DAP dan Bersatu.

“Jika AMANAH yang menang, PKR merasakan itu kemenangan PKR, Bersatu merasakan itu kemenangan Bersatu, dan DAP merasakan itu kemenangan DAP dan begitulah seterusnya.

“Sehingga kita boleh mewujudkan satu kesatuan dan kecintaan ini dan akan menjadi pra syarat penting untuk menjatuhkan BN,” katanya pada majlis kutipan dana PH anjuran DAP di Bayan Lepas malam tadi.

Beliau juga berkata, negeri yang diperintah PH iaitu Pulau Pinang dan Selangor juga harus menampilkan kejayaan mereka bagi meyakinkan rakyat bahawa kerajaan negeri di bawah PH lebih baik daripada negeri yang diperintah BN.

“Dua negeri ini mesti boleh menampilkan kejayaan dari segi tatakelola, pengurusan kewangan, keupayaan mengagihkan hasil negeri untuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat, integriti dan menunjukkan rekod yang baik supaya rakyat dapat tengok beza negeri PH dnegan negeri BN,” katanya.

Menurut beliau, PH sedang menunggu Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan pendaftaran gabungan itu bagi merealisasikan satu lawan satu dalam PRU14.

Tiada ulasan: