GEORGETOWN: Polis sudah berjaya menahan seorang tahanan yang lolos
menggunakan kunci buatan sendiri pada 6 September lalu, semalam.
Khairul Nizam Abdullah Sani, 33, ditahan di Sungai Nibong selepas lebih dua minggu melarikan diri.
Polis kemudiannya mendapatkan perintah tahanan reman terhadap Khairul
Nizam selama tiga hari mulai hari ini hingga 26 September bagi membantu
siasatan.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Timbalan Pendaftar, Rehah Ismail,
manakala suspek yang sebelum ini dituduh atas kesalahan dadah diwakili
peguam R.Puran.
Terdahulu pada 6 September lalu, Khairul Nizam berjaya melarikan diri
dari perkarangan kompleks mahkamah di sini dipercayai menggunakan kunci
buatan sendiri untuk membuka gari berantai.
Dia dan seorang lagi lelaki dipercayai menggunakan kunci pendua itu
untuk membuka gari berantai yang dikenakan pada mereka bersama 27
tahanan lain.
Bagaimanapun, lelaki terbabit berjaya ditahan tidak jauh dari lokasi
mereka melarikan diri, sementara Khairul Nizam berjaya meloloskan diri.
Susulan itu polis melancarkan Op Tutup bagi mengesan suspek yang berasal dari Jalan Siam itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan