Datuk Seri Najib Razak menegaskan beliau tetap istiqamah dengan perjuangan membela rakyat dan negara, meskipun ‘dibantai’ teruk oleh pembangkang dengan pelbagai tuduhan dan fitnah.
Perdana Menteri berkata, serangan politik berterusan tidak akan sesekali melemahkannya.
Sebaliknya Najib berkata, beliau terus fokus menerajui pentabiran negara kerana kerajaan pimpinannya mempunyai agenda besar untuk semua.
“Saya kena ‘bantai’ macam mana pun, saya tetap beristiqamah untuk teruskan perjuangan kita,” katanya ketika berucap melancarkan program Jimat Belanja Dapur peringkat kebangsaan anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Padang Awam Dara, Chini, Bera pada Sabtu.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Seri Abu Bakar Harun dan Pengerusi FAMA, Tan Sri Badruddin Amiruldin.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut melancarkan evolusi baharu Pasar Tani iaitu Pusat Khidmat Setempat@Pasar Tani, Aplikasi Pasar Tani dan QR Pay.
Najib berkata, beliau menjadikan perjuangan bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang juga Perdana Menteri kedua sebagai landasan perjuangan beliau membela nasib rakyat.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau tidak mahu dan tidak akan merendahkan maruahnya seperti dilakukan pemimpin pembangkang yang sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan politik.
“Kita tidak mahu orang kata standard kita macam standard dia. Kita tidak mahu merendahkan maruah kita dah cara imej kita macam dia.
“Saya nak buat kerja. Saya nak teruskan perjuangan Allahyarham Tun Abdul Razak. Saya sudah sematkan ikrar legasi Allahyarham Tun Abdul Razak tetap dijadikan landasan perjuangan saya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan