KUALA TERENGGANU:
Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak mampu menawarkan
kepada rakyat dengan Islam sebagai asas bernegara dalam manifesto
masing-masing.
Hal ini berbeza kata Ahli Jawatankuasa
PAS Pusat, Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dengan PAS yang bersedia
memperkasakan Islam secara menyeluruh dalam 20 kandungan manifesto
Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Menurutnya, ada pihak lain yang mempersoalkan PAS kenapa tidak memasukkan hukum hudud dalam 20 tawaran manifesto PAS itu."Ada orang tanya kenapa dalam 20
manifesto PAS-Gagasan Sejahtera itu tidak disebut hudud? Hudud (adalah)
sebahagian dari Undang-undang jenayah Islam.
"Apabila kita kata hendak laksanakan
Islam secara menyeluruh dan merangkumilah antaranya berkaitan dengan
hudud. Manifesto ini tidak perlu kita detail panjang-panjang, beri yang asas-asas.
"Bila sebut kita hendak Islam sebagai Ad-Deen itu
dia merangkumi semua sekali, bukan hanya bab undang-undang (sahaja)
tapi merangkumi bab ibadahnya, bab muamalat, bab munakahat, bab negara,
bab undang-undang semua sekali dan merangkumi semua," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam Ceramah
Perdana Himpunan Kekalkan Dun Chukai (HKDC) 2.0 di Dataran Tok Guru,
Kampung Geliga Besar, Chukai, di sini kelmarin.
Justeru katanya, tidak ada mana-mana
parti selain PAS yang bersedia menawarkan Islam secara menyeluruh kepada
rakyat sejak dari dahulu hingga sekarang.
"Parti mana yang menawarkan Islam
sebagai asas bernegara? PH tidak mungkin mampu untuk mengemukakan kepada
rakyat Islam sebagai asas bernegara. Umno pun dia tidak mampu dan itu
bukan impian Umno.
"Tapi, yang konsisten, yang istiqamah
sejak sebelum merdeka hingga selepas merdeka, hingga ke saat ini dan
InsyaAllah, sampai bila-bila yang hendak laksanakan Islam hanya PAS
sahaja," tegasnya.
Oleh itu, kata beliau yang juga Ahli
Parlimen Kuala Nerus bahawa Islam bukan tempelan, tetapi Islam menjadi
paksi kepada Islam bernegara.
Tawaran Manifesto PAS-Gagasan ialah
memperkasakan peruntukan Islam sebagai Agama Persekutuan dengan
melaksanakan tuntutan Islam sebagai Ad-Deen iaitu sistem yang melengkapi seluruh aspek kehidupan.
Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pemuda
PAS Kelantan, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, Yang Dipertua PAS Kuala
Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah dan Ahli Dewan Undangan
Negeri (Adun) Chukai, Hanafiah Mat. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan