SUNGAI BESAR: Barisan Nasional (BN) Selangor lebih bersedia menghadapi
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) berbanding PRU13, kata Datuk Seri Ahmad
Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, ketika PRU13, majoriti pemimpin serta
ahli BN seolah-olah masih belum 'kebah' kesan kekalahan pada PRU12,
sekali gus menyebabkan jentera parti gagal berfungsi dengan baik.
"Malah, ketika PRU13, BN diserang dari pelbagai sudut melalui media sosial dan BN seolah-olah tidak mampu melawan serangan ini.
"Parti lawan juga melakukan serangan dengan cara membunuh karektor
pemimpin kita. Namun, saya yakin kesiapsiagaan BN pada kali ini adalah
jauh lebih baik, kita yakin BN akan berjaya merampas Selangor," katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada program 'Mesra Rakyat Bersama
Timbalan Perdana Menteri Malaysia' dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya
Parlimen Sungai Besar di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi BN Selangor yang juga Menteri Kesejahteraan
Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar; Timbalan
Pengerusi BN Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan serta Ketua UMNO
Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN, turut
mengingatkan barisan kepemimpinan dan ahli Bahagian Sungai Besar supaya
tidak dibuai kemenangan besar yang dicapai pada Pilihan Raya Kecil (PRK)
Parlimen Sungai Besar dua tahun lalu.
"PRK Sungai Besar kita menang kelebihan 9, 191 undi tetapi ketika itu
semua jentera BN dari seluruh negara bertumpu membantu calon di Sungai
Besar.
"Pada PRU14, tiada siapa tolong kempen di Sungai Besar. Jadi, Sungai
Besar kena buat kerja sendiri, apa pun saya yakin dengan izin Allah kita
mampu mengembalikan kegemilangan BN di Selangor " katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan