HALAMAN SANTAI

Selasa, 24 Julai 2018

Ellie nafi disiasat, tegas tak ambil 'dedak'

 
    WAWANCARA | Baru-baru ini muncul gosip yang mengaitkan Ellie Suriaty Omar dengan radar pihak berkuasa selepas Datuk Seri Najib Razak disiasat berhubung skandal 1MDB.

Cakap-cakap itu muncul dengan laporan media mengenai ada syarikat produksi sedang diteliti kerana disyaki menerima dana tidak sepatutnya dan mempunyai kaitan dengan firma milik penuh Kementerian Kewangan tersebut.

Khabar angin itu menjadi lebih kencang apabila Ellie secara mendadak dilihat menjadi antara watak utama di kalangan artis yang berani bersuara mempertahankan Najib dengan bersungguh-sungguh.

Ikuti sambungan wawancara Malaysiakini dengan pelakon filem Paloh dan Jangan Tegur itu:

Malaysiakini: Betul Ellie pernah disiasat mana-mana pihak berkuasa selepas PRU14?

Ellie: Tak ada pun. (Kalau nak siasat) panggilah. Kalau dipanggil, saya pun ada soalan nak ditanya kepada pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Malaysiakini: Kenapa perlu menyoal Shukri?

Ellie: Antara sebab saya nak jumpa dia adalah bertanyakan berhubung isu bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang dikaitkan dengan dana RM 2.6 bilion 1MDB.

Dan lagi, nak tanya mengapa bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz tidak mahu mengaku RM2.6 bilion itu datangnya dari Arab Saudi.



SPRM mempunyai tanggungjawab luar biasa, saya harap jangan ada dendam.

Malaysiakini: Ada orang menuduh Ellie disiasat sebab terima bantuan atau kontrak kerajaan BN, betul?

Ellie: Saya menafikan hal itu sekali lagi. Jika hendak kata saya ada mengambil kontrak kerajaan, saya memang tidak ambil. Kalau saya ada ambil pun, sama saja macam penerbit atau pengarah lain mereka pun ada.

Jadi apa masalahnya kalau saya ada terima kerana memang kerajaan memperuntukkan sebanyak RM200 juta untuk industri seni negara.

Dana itu tidak kisah untuk digunakan sama ada untuk menghasilkan filem, dokumenteri ataupun seni tari. Apa saja bidang indutri kreatif boleh menggunakan dana itu.

Kalau contohnya memang saya ada ambil, salahkah? Bagaimana pula orang yang ambil dana itu tetapi pangkah Pakatan Harapan dalam PRU14 dulu? Patutnya siasatlah mereka sekali.



Saya tak faham sikap sesetengah masyarakat kita yang mudah sangat menuduh saya atau mana-mana orang yang tidak sehaluan kononnya sebagai pemakan dedak.

Sepatutnya, kalau saya dapat projek berjuta-juta sewaktu kerajaan BN memerintah dulu, pasti saya sudah ke depan ketika itu.

Tetapi tidak, kerana saya baru saja menyertai politik selepas PRU14.

Dulu saya hanya memandang dan membaca saja pasal politik (tidak terlibat secara langsung).




Sekarang saya ambil tahu semua dari bangsa Melayu hingga agama Islam. Tiba-tiba dituduh makan dedak pasal apa?

Malaysiakini: Sekarang Ellie masih ada dapat sebarang tawaran berlakon?

Ellie: Memang tidak ada tawaran lakonan, tetapi itu bukan alasannya untuk saya makan dedak.

Masyarakat patut faham dalam industri hiburan kadang-kadang akan ada tawaran hingga tiada rehat langsung. Tetapi kadang-kadang tak ada sama sekali.

Jika tiada tawaran sebagai pelakon, saya masih boleh menulis, mengarah menjadi tenaga pengajar untuk mencari rezeki.

Malaysiakini: Ada projek terbaru?

Ellie: Saya pernah pitching untuk dua buah filem, tetapi saya tidak tahu status sekarang bagaimana kerana saya begitu vokal.

Namun, saya masih belum berkongsi lanjut berhubung dua filem berkenaan tetapi ditegaskan ia tiada kena mengena dengan kerajaan.

Tiada ulasan: