HALAMAN SANTAI

Isnin, 23 Julai 2018

Bagaimana jika Malaysia jadi 'negara koboi'?

 
    ULASAN | Keputusan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membatalkan Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dipandang berat oleh Umno.

Penggubalannya semata-mata bertujuan menjaga ketenteraman awam daripada anasir yang boleh mengganggu-gugat keselamatan negara, tidak langsung menyentuh soal politik individu.

Antara elemen pentingnya ialah kesalahan yang menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, atau menyebabkan sebilangan besar warga takut akan keganasan, membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong, memudaratkan ketenteraman dan keselamatan awam.

Berbanding dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang digunakan olehnya sebagai perdana menteri ke-4 (yang membabitkan penahanan tanpa bicara), pesalah Sosma tidak boleh diperlakukan sewenang-wenangnya.

Malah ada peruntukan bahawa perbicaraan perlu diadakan di Mahkamah Tinggi. ISA tiada perbicaraan selama 2 tahun manakala penahanan bawah Sosma hanya 28 hari sahaja dan perlu dibicarakan kemudiannya.

Umno ingin mempersoalkan logik langkah pembatalan ini dalam menjamin ketenteraman awam, sedangkan sudah wujud tindakan pihak tertentu untuk mencabar institusi Raja-raja Melayu dan melaga-lagakan kaum sejak Pakatan Harapan (HARAPAN) memerintah.

Pembatalan Sosma akan membuka lebih banyak ruang kepada sesetengah pihak untuk meningkatkan provokasi kaum dan agama melalui pelbagai saluran media sosial dan internet.

Mahu galak provokasi?

Dengan cadangan untuk menarik balik undang-undang 'drakonian' yang beliau sendiri pertahankan antara 1981 dan 2003, Umno khuatir negara akan lebih terancam dengan meledaknya era internet dan media massa bersifat 'free for all', serta perbuatan yang menjurus ke arah menggugat ketenteraman awam.

Ditambah pula dengan hasrat melupuskan Akta Hasutan 1948 dan Akta Anti-Berita Tidak Benar 2018, kerajaan nampaknya mahu menggalakkan provokasi dan sentimen agama, kaum dan politik di dalam negara.

Umno khuatir ada pihak yang menunggu peluang ini bagi menyebarkan hasutan serta dakyah di kalangan rakyat. Kesannya amat menakutkan, dan rakyat tidak lagi akan berasa selamat dalam suasana sedemikian.

Negara kini berdepan ancaman keselamatan yang dikawal jauh atau "remote control" secara terancang.

Di saat berlaku banyak perubahan lanskap politik dalam negara dan antarabangsa, undang-undang seperti Sosma dan Akta Hasutan sangat kena pada masanya, tetapi pada masa sama aspek keadilan turut melindungi hak-hak individu yang disyaki terlibat.

Dr Mahathir tidak pernah berdepan kecaman dan kritikan alam siber pada zamannya. Adakah beliau sudah bersedia kali ini untuk menghadapi segala fitnah dan pembohongan siber yang dilakukan HARAPAN ketika sebelum PRU ke-14?

Ancaman kali ini lebih besar.

Malaysia dan rakyatnya terdedah kepada anasir asing. Golongan muda terutamanya lebih teruja untuk mencuba pendekatan Barat di sini.

Jangan salahkan kami jika...

Umno percaya kerajaan juga akan membatalkan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota) yang berperanan memagar negara daripada sebarang kegiatan berunsurkan keganasan a la IS dan militan lain.

Apakah Dr Mahathir berbuat demikian semata-mata untuk memelihara kepentingan politiknya, atau demi mengambil hati pengundi HARAPAN?

Jika inilah hasratnya, maka Umno menasihatkan rakyat supaya bersedia daripada sekarang untuk melihat ketidakstabilan dalam negara.

Apatah lagi dengan berkembangnya semula kegiatan subversif seperti yang pernah dialami selepas merdeka, yang menjadi sebab ISA terpaksa digubal.

Kerajaan terdahulu tidak pernah memikirkan keuntungan politik dalam menggubal setiap undang-undang yang difikirkan perlu untuk menjaga kepentingan setiap warga, malah sedia menggunakan pendekatan tidak populis demi ketenteraman awam.

Apa yang pasti, Umno dan BN tidak mahu dipersalahkan jika pemansuhannya akan menjadikan Malaysia sebagai 'negara koboi'.

Atau mungkin Dr Mahathir merasakan Sosma dan pelbagai akta antikeganasan yang digubal kerajaan terdahulu tidak cukup kuat dan beliau rasa perlu ada akta yang lebih keras bagi mengekang teguran yang dilemparkan kepadanya, walapun di lidahnya menyebut beliau terbuka menerima teguran.

Apakah ini bermakna ISA akan dikembalikan? Sama sama kita perhatikan.

*Berkenaan Sosma, manifesto HARAPAN tidak menyatakan akta itu akan dimansuhkan, sebaliknya menyemak semula beberapa peruntukan yang dilihat zalim.

*Kenyataan ini susulan beberapa laporan media yang memetik Mahathir sebagai berkata kerajaan akan memansuhkan Sosma.

Dalam satu acara semalam, perdana menteri menyebut "Akta Sekuriti Sosial (social security act)" dan kemudian menjelaskan ciri-ciri Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 - iaitu antara akta yang ingin dimansuhkan HARAPAN.


*DATUK SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI ialah presiden Umno dan ketua pembangkang.

Tiada ulasan: