HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 Julai 2018

Sosma: Siti Aishah dihukum penjara 5 tahun



Sosma: Siti Aishah dihukum penjara 5 tahun

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Siti Noor Aishah Atam kerana didapati bersalah atas dakwaan memiliki 12 buku mempromosi fahaman militan seperti IS.

Siti Aishah disabitkan bersalah di bawah Seksyen 130JB Kanun Keseksaan serta Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Hakim Datuk Mohamad Shariff Abu Samah memerintahkan Siti Aishah menjalani hukuman tersebut dari hari dia ditahan dan mengarahkan kerajaan melupuskan serta mengharamkan 12 buku terbabit.

Hakim berkata, Siti Aishah didapati bersalah kerana pendakwa raya, Mohd Mustaffa P Kunyalam berjaya membuktikan semua kenyataan pembelaannya tidak munasabah.

“Saya dapati hujahan pembelaan Siti Aishah tidak munasabah. Justeru, saya berpuas hati dengan hujahan pendakwa raya.

“Keseriusan unsur ganas ini sangat jijik dan kotor perbuatan ini. Itulah jihadnya. Kita tak boleh tolak ansur, mahkamah titik beratkan perkara itu,” katanya.

Sementara itu, peguam Siti Aishah, Kamaruzaman Abd Wahab meminta mahkamah mengurangkan hukuman ke atas anak guamnya memandangkan ini kesalahan pertamanya dan ia mungkin berpunca daripada pengaruh pensyarahnya.

“Ini kesalahan pertama dan Siti Aishah ada masa depan cerah. Beliau sudah insaf. Beliau beli buku ini sebab suka membaca sebelum diharamkan KDN (Kementerian Dalam Negeri).”

Pendakwa raya pula meminta mahkamah mengambil tindakan serius untuk memberi pengajaran kepada Siti Aishah dan rakyat.

Siti Aishah pertama kali ditahan pada Mac 2016, di bawah Sosma kerana memiliki 12 buku yang didakwa berkaitan kumpulan militan.

Siti Aishah mengaku tidak bersalah memiliki buku berkenaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada April 2016 dan mendakwa buku itu adalah untuk kajiannya dalam bidang Ijazah Sarjana Akidah dan Pemikiran Islam di Universiti Malaya (UM) pada 2012 hingga 2013.

Tiada ulasan: