HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 Julai 2018

Lokman nak jadi tukang pantau, pendesak HARAPAN

 
   
Bekas anggota panel penasihat Jabahan Hal Ehwal Khas (JASA) yang sudah dibubarkan, Datuk Lokman Adam, berkata pengundi Sungai Kandis perlu mengundinya untuk ke Dewan Undangan Negeri Selangor supaya beliau boleh menjadi jurupantau manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN).

Kata Lokman Noor Adam, meskipun kemenangannya tidak akan mengubah kerajaan Selangor yang ditadbir HARAPAN, pengundi perlu memilih BN supaya rakyat dapat menilai kembali janji kerajaan yang dibuat melalui manifesto mereka sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

“Ini bukan soal memilih siapa yang menjadi wakil rakyat, bukan soal memilih kerajaan yang akan memerintah Selangor kerana ia kekal menjadi milik HARAPAN.

"Namun undi kali ini perlu diterjemahkan sebagai peluang untuk rakyat menyatakan pendirian mereka sama ada mereka bersetuju dengan apa yang berlaku di negara ini sejak 9 Mei lalu.

“Jika mereka berasakan mereka tak setuju dengan tindakan pemimpin HARAPAN yang menyatakan manifesto itu bukan Bible, bukan janji dan tidak perlu ditunaikan, dan jika mereka (rakyat) rasa HARAPAN wajib menunaikan janji-janji tersebut dan mahu saya menjadi saya wakil mereka menuntut semua janji-janji ini, maka undilah saya," katanya kepada Malaysiakini.

Lokman yang juga anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno juga menyatakan rakyat boleh menuntut kerajaan menunaikan janji yang diikrarkan melalui pilihan raya kecil Sungai Kandis.

Pada masa sama, Lokman - yang mula dikenali sejak zaman reformasi sebelum kembali kepada Umno - mendakwa orang ramai terutama umat Islam berasa kecewa apabila agama itu diperlekehkan.

Solidariti untuk Najib

Pemilihan di Sungai Kandis ialah pilihan raya kecil pertama diadakan selepas PRU ke-14 lalu. Ia akan diadakan pada 4 Ogos, manakala penamaan calon akan dibuat esok.

Sungai Kandis terletak di bawah kawasan parlimen Kota Raja. Kerusi itu kosong ekoran penyandangnya Shuhaimi Shafie meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat barah limfoma.

Malam tadi PKR sudah menamakan seorang pengetua sekolah tahfiz, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, 48, sebagai calon HARAPAN.

Nama Lokman diumum sebagai calon BN oleh Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan di Shah Alam sebentar tadi.

Pada PRU ke-14 Shuhaimi mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis (dahulu dikenali dengan nama Sri Muda) untuk penggal ketiga berturut-turut dengan memperoleh 23,998 undi untuk mengalahkan calon BN Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518), calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia Hanafiah Husin (76).



Sejak HARAPAN membentuk kerajaan susuk Lokman kerap muncul di khalayak ramai, termasuk menggerakkan sokongan terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di depan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada 3 Julai lalu.

Najib ditahan agensi antirasuah itu selepas disiasat berhubung pelbagai dakwaan berkaitan 1MDB dan sudah didakwa di mahkamah.

Pada 17 Julai lalu pula Lokman mengetuai protes kecil sebagai tanda kebersamaan dengan Yang di-Pertuan Agong.

Protes itu diadakan berhampiran Bukit Aman pada hari Sultan Muhammad V merasmikan sidang pertama parlimen ke-14.

Ketua kumpulan Pemantau Malaysia Baru itu turut berpendapat, sekiranya rakyat di kawasan tersebut wajar memberikan sokongan kepadanya jika mereka berpendapat hak keistimewaan orang Melayu dan raja-raja Melayu semakin terhakis.

“Sekiranya mereka mahu saya teruskan usaha saya khususnya melalui Pemantau Malaysia Baru untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka, maka undilah saya pada pilihan raya kecil ini,” katanya.


Tiada ulasan: