SG KANDIS | Datuk Lokman Noor Adam yakin menang tipis jika mendapat 80 peratus undi PAS dan berjaya menarik 17 peratus penyokong Pakatan Harapan.
Calon BN bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis itu bahkan berkata, jika pucuk pimpinan PAS turut berkempen, sokongannya mungkin lebih lagi.
“Sebenarnya, kita ada buat beberapa bancian. Jika dapat 80 peratus undi PAS dan sekiranya pimpinan PAS turun (padang), mungkin boleh dapat lebih (undi).
“Kita juga berharap dapat menarik sokongan sebanyak 17 peratus yang diperoleh HARAPAN dulu dan jika saya dapat, saya akan menang tipis 135 undi.
“Malah, jika saya boleh dapat 20 peratus lagi pengundi kembali bersama kita, termasuklah ahli-ahli Umno yang sabotaj dan tidak keluar mengundi dulu, ia kelebihan kepada kita dan satu bonus,” katanya.
Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas turun padang di sekitar Sekolah Rendah Agama Jalan Kebun, Sungai Kandis, hari ini.
PAS tidak bertanding dalam pilihan raya kecil ini. Bagaimanapun, Ketua penerangannya Nasrudin Hassan dalam mengulas itu PRK itu mengetengahkan slogan “Asal Bukan Pakatan Harapan – ABAH”.
PRK DUN Sungai Kandis bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Lokman, calon PKR Zawawi Mughni dan calon bebas K Murthy.
Ia diadakan susulan penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei, orang lama reformasi serta bekas setiausaha politik menteri besar Selangor, yang meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.
Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) lalu, Shuhaimi daripada PKR memenangi kerusi itu dengan 23,998 undi selepas menewaskan calon BN Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).
'Boikot? Jangan ulang silap dulu'
Sementara itu, menjawab soalan, Lokman menafikan beliau diboikot oleh Umno bahagian kerana beliau bukan anak tempatan.
“Biasalah semua (akan) pilih jadi calon. Semua orang akan bersuara dengan harapan calon yang mereka mahu akan dapat. Namun, apabila (sudah) diputuskan, Alhamdulillah.
“Jika mereka boikot sekali lagi, mereka akan dapat keputusan pilihan raya seperti pilihan raya umum lalu. Takkan kita mahu ulang kesilapan yang sama,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata tidak timbul isu boikot atau penolakan akar umbi Umno apabila calon luar mewakili parti itu dalam pilihan raya, termasuklah di Sungai Kandis.
Mohamad berkata, budaya boikot itu bukan lagi cara berpolitik Umno, sesuai dengan kedudukan mereka sebagai pembangkang sekarang ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan