ULASAN | Nga Kor Ming, anggota parlimen DAP Teluk Intan menyerlah keupayaannya sebagai timbalan speaker walaupun beliau hanya baru beberapa hari mengendalikan dewan yang mulia itu.
Pertama sekali bila beliau menyampaikan ucapan perdana sebagai timbalan speaker yang dengan tegas mengingatkan anggota Dewan supaya menghormati peraturan, berbahasa dan berkelakuan baik kerana rakyat di luar dewan memerhati kelakuan mereka.
Penyampaian amarannya dalam bahasa Melayu yang tinggi, indah, jelas dan berhemah, terkesan bagi siapa yang mendengarnya.
Kedua beliau memuji sikap anggota parlimen Bung Moktar kerana lebih beradab dan berhemah,bersopan ketika berucap pada sesi kali ini berbanding dengan sidang parlimen sebelumnnya ketika berada sebagai anggota kerajaan BN.
Katanya, sikap Bung tidak menggunakan perkataan kurang sopan ketika berucap perlu dikekalkan.
Tetapi beliau mengingatkan agar jangan hanya "hangat-hangat tahi ayam", yang disambut dengan ketukan hangat dan ketawa oleh ahli-ahli Dewan yang biasa dengan cara berbahas Bung Mokhtar sebelum ini.
Tenyatalah Ng mempunyai pandangan yang tajam dan bertindak dengan perhitongan yang bijak untuk mengkondisikan pemikiran ahli Dewan tentang kesanggupannya untuk bertindak mengendalikan mereka yang mahu menyalahgunakan Dewan.
Dengan ini juga kita didedahkan dengan keupayaan politiknya yang selama ini tersembunyi dan hanya diketahui oleh anggota-anggota DAP atau rakyat yang diwakilinya.
Beliau mahu kehormatan diberikan kepada speaker dan beliau secara halus dan bijak mengingatkan ahli Dewan bahawa beliau tahu untuk mengendalikan mereka.
Ternyata jawatan sebagai timbalan speaker telah memberi peluang lebih luas kepadanya untuk menyerlahkan keupayaan kepimpinannya sebagai ahli politik dan juga profesional di mata rakyat.
Beliau berhemah, pintar, cekap dan berkualiti. Walaupun tidak terpilih sebagai menteri, tentunya sekarang beliau lebih berterima kasih kepada perdana menteri memberi peluang yang lebih baik untuk menjadi lebih popular dan bagi kemantapan masa depan politiknya.
Saya percaya Nga akan berjaya meningkatkan imej Dewan ke taraf yang lebih tinggi sesuai dengan sebagai Dewan Yang Mulia.
Beliau akan lebih menyerlah nanti jika berjaya mempengerusikan dan Dewan dalam keadaan yang lebih panas dan genting.
Bagaimanapun setakat ini saya rasa beliau telah pun memberi kesan dalam mengingatkan anggota-anggota Dewan bahwa beliau mempunyai keupayaan untuk mengendalikan mereka secara profesional dan bukan dengan cara politik.
Setakat ini telah nampak jelas perbezaan antara Dewan Rakyat yang dikuasai oleh BN yang speaker terdiri dari orang parti dengan Dewan dikendalikan oleh seorang speaker bukan dari kalangan politik dan dibantu oleh dua orang anggota parti politik yang akan dapat memisahkan antara kepentingan politik dan kehormatan etika dan peraturan Dewan tanpa bias.
Maruah Dewan Rakyat akan lebih meningkat di bawah pimpinan mereka yang jujur dan adil yang percaya kepada keterbukaan dan demokrasi yang bersopan santun.
*ZAINUDIN MAIDIN ialah bekas menteri penerangan dan ketua pengarang Kumpulan Utusan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan