Oleh: SYAKIRIN DAUD
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) seharusnya melahirkan kebimbangan akan disabotaj Ahli Dewan Negara Barisan Nasional (BN) berhubung pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) September nanti.
Hal ini kerana bantahan Ahli Parlimen BN ada asasnya kerana pihak kerajaan masih gagal menerangkan secara terperinci SST selain mengakui Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) lebih efisien.
Di Parlimen wakil rakyat BN terus mengasak Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung pelaksanaan SST bagi menggantikan GST.
Justeru bantahan Ahli Parlimen BN ada asasnya, GST sistem percukaian yang efisien perlu diteruskan dengan penambahbaikan.
Diasak Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, Guan Eng gagal menjawab persoalan yang dibangkitkan Bekas Menteri Belia dan Sukan.
Khairy mempersoal keputusan kerajaan PH menghapuskan GST meskipun sedar cukai tersebut lebih baik.
Beliau berkata, kerajaan sepatutnya memperbaiki pelaksanaan cukai tersebut bagi mengurangkan bebanan rakyat tanpa perlu kehilangan kutipan hasil negara.
“Sekiranya menteri boleh dapat hasil yang sama dengan GST tapi kadar yang lebih rendah dengan dibesarkan senarai pengecualian, kenapa perlu mansuh GST walaupun ia merupakan janji pilihan raya?
“Sedangkan yang berhormat sendiri mengakui bahawa sebagai sistem percukaian GST lebih telus dan efisien.
“Jika masalah dia adalah tuntutan semula oleh pengusaha, itu masalah sistem yang boleh diperbaiki bawah kepimpinan menteri, bukan masalah sistem percukaian itu secara keseluruhan,” hujah Khairy dalam sesi soal jawab bersama menteri di Parlimen.
Guan Eng dalam ucapan balasnya berkata GST akan dimansuh kerana ia merupakan janji teras PH dalam buku manifesto meskipun perlu mengakui cukai tersebut lebih berkesan dengan alasan kerajaan lebih mengutamakan kesejahteraan rakyat.
Walaubagaimanapun, Khairy yang juga kembali mencelah dan menegaskan tentang penambahbaikan sistem GST berbanding keputusan untuk mansuh.
“Sebab itu saya tanya sama ada simulasi dibuat supaya kadarnya dikurangkan.. Kita boleh lihat kepada kadar yang lebih rendah contoh tiga atau empat peratus dengan senarai pengecualian yang lebih besar.
“Isunya sekarang adalah GST akan dimansuh hanya disebabkan ia janji pilihan raya. Mungkin itu tersalah janji dan apabila yang berhormat sendiri duduk di kerusi itu, yang berhormat tahu GST sistem yang lebih baik. Jadi cuma perlu perbaiki pelaksanaan dan kurangkan kadar cukai.
“Maka kita boleh capai dua objektif, satu kutipan yang disasarkan menteri dan yang kedua kadar lebih rendah untuk rakyat bagi menjaga kesejahteraan ekonomi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan