THE MALAYSIAN TIMES
PORT DICKSON: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyangkal sindiran Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa beliau tidak konsisten ketika berdepan pengundi pelbagai kaum dan agama bila berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.
Ketua Umum PKR itu berkata beliau tidak mahu mengulas lanjut berhubung kritikan Abdul Hadi itu namun menjelaskan bahawa Islam tidak menghalang untuk menghormati hak beragama masyarakat lain.
“Dahulu masa mereka (PAS) dalam Pakatan Rakyat saya pergi boleh pula, malah dalam majlis di dewan-dewan di kuil, ramai juga orang PAS yang hadir ikut saya. Oleh itu saya tidak mahu ulas atau jawab kenyataan Abdul Hadi kerana kebelakangan ini banyak pihak kritik saya, serang saya, jadi saya tak mahu jawab.
“Apa yang penting kita harus sedar bahawa dalam tradisi Islam, kita tidak menghalang untuk menghormati hak beragama, saya bukanlah hadir untuk bersembahyang di kuil, bukan juga hadir untuk mengiringi mereka bersembahyang di kuil, saya hadir dalam majlis kebudayaan di perkarangan kuil, jadi saya akan teruskan,” katanya.
Anwar bercakap dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan (PH) bagi PRK Parlimen Port Dickson, di sini.
Semalam, dalam sidang akhbar selepas Program Ceramah Perdana PAS, Abdul Hadi dilaporkan berkata Anwar sebagai penganut Islam sepatutnya lebih konsisten dengan pegangan agamanya.
Sementara itu, mengulas soalan Abdul Hadi mengapa beliau tidak bertanding di kerusi majoriti Melayu, Anwar berkata situasi Port Dickson yang melambangkan struktur masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum menyebabkan beliau memilih kawasan tersebut.
“Kalau saya bertanding di kawasan majoriti Melayu nanti mereka persoalkan pula kenapa saya tidak bertanding di kawasan yang terdiri daripada pelbagai kaum kerana saya sepatutnya menjadi pemimpin di negara yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Di Port Dickson ini penduduknya secara kasar mewakili struktur negara ini iaitu hampir 50 peratus Melayu, 30 peratus Cina dan 20 peratus masyarakat India, cuma tiada masyarakat Iban dan Kadazan,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai kekurangan pemimpin PKR hadir berkempen untuknya, Anwar berkata beliau telah mengeluarkan nasihat kepada mereka supaya tidak mengabaikan tanggungjawab untuk memenangkan calon parti pada PRK itu.
PRK Parlimen Port Dickson diadakan selepas penyandang dari PKR Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, mengosongkan kerusi pada 12 Sept lepas untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 13 Okt ini sebagai hari mengundi, manakala pengundian awal 9 Okt.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan